Saat semua pasukan Liga Super sudah melancarkan jersi untuk saingan musim 2022, Penang FC dilihat masih ‘senyap’ dan adakah mereka akan ambil langkah seperti kelab English Premier League (EPL), Brentford FC?
Bukan hanya Penang, tetapi PJ City FC juga dilihat menjadi pasukan kedua yang turut belum melancarkan jersi baharu. Dan kedua-dua pasukan ini ditaja oleh Active Sports dan menggunakan jenama Puma musim lalu.
Apa yang berlaku saat ini? Perlawanan pertama Liga Super 2022 bagi Penang adalah pada 4 Mac depan.
Sukar membayangkan apa yang sedang berlaku dan tiada sebarang perkembangan terkini daripada laman Facebook rasmi pasukan. Tentunya para penyokong ternanti-nanti bagaimana rupanya jersi baharu mereka.
Tiada khabar berita, mahupun ‘sneak peek’ rupa jersi baharu buat pasukan yang menamatkan musim di kedudukan ketiga, musim lalu itu. Adakah penyokong akan melalui pengalaman ‘pahit’ seperti musim lalu.
Penyokong Pulau Pinang Berang Active Sports Buat ‘Loqlaq’ Urusan Jual Jersi
Penyokong Harimau Kumbang sehingga perlawanan ke-10 Liga Super 2021, masih belum dapat membeli jersi baharu mereka. Persembahan pasukan sangat baik, berada di kedudukan ketiga, tetapi jersi belum dijual.
Malah, saat jersi mula dijual, penyokong bertambah kecewa apabila pihak Active Sports buat ‘loqlaq’. Mereka yang telah beratur awal di depan kedai di bangunan Komtar kemudian terpaksa membuat pra-tempahan dengan perlu menulis nama dan saiz baju pada buku yang telah disediakan. Jersi perlu diambil kemudian.
Selain itu, jersi yang dijual dengan harga RM149 sehelai ketika itu hanya ada logo Penang FC. Penyokong perlu membayar caj tambahan jika mahu meletakkan logo “Penang 2030” dan aksesori tambahan lain di jersi.
Itu kisah musim lalu yang penuh duka buat penyokong. Dan adakah mereka akan melaluinya lagi kali ini?
Brentford have decided to save fans money and also help the environment by keeping their home kit same for the 2022/23 season 👏 pic.twitter.com/kek1ZEfeAV
— GOAL Asia (@GOALasia) November 25, 2021
Adakah Penang akan mengikut langkah Brentford FC yang telah mengekalkan jersi lama untuk musim baru?
Brentford mengambil langkah mengekalkan jersi musim sebelumnya dan tidak mengikut ‘trend’ setiap pasukan bola sepak untuk melancarkan jersi baharu untuk musim ini. Ia telah dilabel sebagai satu langkah berani apabila mereka menggunakan jersi yang sama untuk dua musim dan pihak penaja juga dilihat turut menyokongnya.