Pemain tengah Roma, Radja Nainggolan mengakui masih mahu melihat Juventus bergelar juara Serie A pada musim ini walaupun membenci kelab tersebut.
Ini kerana Nainggolan berpendapat ianya adalah lebih menyakitkan untuk melihat pasukan lain bergelar juara selepas Roma sendiri hanya berjaya menduduki tangga kedua dalam beberapa musim sebelum ini.
Di dalam tempoh 6 musim sebelum ini, Roma menduduki tangga kedua sebanyak 3 kali, dan Juventus bergelar juara di setiap musim itu.
Walaupun kagum dengan prestasi dan corak permainan yang ditampilkan Napoli, Nainggolan sebenarnya lebih sanggup meilhat kelab dari Turin itu mengekalkan kejuaraan, melainkan Roma sendiri yang tampil sebagai juara.
“Saya mahu berkata jujur. Saya tidak senang dengan Juvetus, tetapi masih mengharapkan mereka bergelar juara.”
“Saya tidak ada masalah dengan Napoli. Dengan apa yang mereka peragakan di dalam perlawanan, mereka juga layak untuk bergelar juara.”
“Tetapi di dalam tempoh 6 tahun, saya sentiasa menduduki tempat kedua. Jika ada pasukan lain yang tampil menjadi juara selain Juventus, ia adalah satu tamparan kepada saya.”
Pemain dari Belgium ini juga sememangnya dikenali dengan sikap benci atau tidak senang dengan kejayaan Juventus. Dan beberapa kenyataan daripada pemain ini sebelum ini turut mendapat perhatian ramai.
Antaranya ialah ketika Juventus tewas di perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) kepada Real Madrid pada musim lalu.
Nainggolan menambah kedukaan penyokong Juventus dengan kata-kata:
“Hari petang yang sangat indah. 3 hari lalu anda bercakap besar tentang diri anda. Apa yang anda mampu katakan sekarang?”
Pada Februari 2017 juga Nainggolan turut mengkritik keputusan pengadil yang sentiasa memihak kepada Juventus, sambil merujuk kepada hukuman yang pernah diterima kelab tersebut kerana skandal mengatur perlawanan.
Nainggolan berkata: “Saya adalah seorang yang sentiasa menentang Juventus. Saya sentiasa benci Juventus.”
“Ketika bersama Cagliari, saya akan beraksi sehabis baik untuk menewaskan Juventus di Turin. Hasilnya kami selalu mencatatkan keputusan seri.”
“Mereka pernah bergelar juara apabila menentang kami di Triste. Saya amat membenci mereka kerana mereka sentiasa memenangi perlawanan melalui sepakan penalti atau sepakan percuma.
Apabila bekas rakan sepasukan dan gandingan Nainggolan, Miralem Pjanic di Roma menyertai Jventus pada 2016, Nainggolan berkata:
“Saya sudah memberitahu Pjanic. Jika beliau menyertai Juventus, beliau tidak akan dapat bercakap dengan saya lagi.”