Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Kedah telah memilih untuk mengadakan Jelajah Pra-Musim 2020 di Kemboja dan akan mula berangkat ke sana selepas aksi persahabatan menentang Kelantan pada 4 Januari depan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Pada musim lalu, Kedah telah berkunjung ke Krabi, Thailand untuk menentang Buriram United, Trang FC dan Surat Thani FC. Trang FC dan Surat Thani FC adalah kelab yang bersaing Thai League 3.
“Kita memilih Kemboja kerana kemudahan latihan di sana dan gaya permainan serta kekuatan Kemboja dan Hong Kong adalah hampir sama,” jelas pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ketika dihubungi Semuanya BOLA sambil menyatakan aksi menentang Tai Po FC termasuk dalam pertimbangan pemilihan lokasi Jelajah Pra-Musim.
Kedah akan melayan kunjungan juara Hong Kong Premier League, Tai Po FC pada 21 Januari depan dalam pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 di Stadium Darul Aman. Jika layak, FC Seoul akan menanti pula kunjungan Kedah ke Korea Selatan.
Selain itu, menurut Aidil Sharin, aksi di Kemboja memudahkannya untuk mengawal dan menjaga tindak tanduk pemain seterusnya akan memudahkan pemain-pemain Helang Merah untuk fokus.
“Kemboja amat bagus untuk kita lakukan team bonding dan boleh mengelak pemain kita dengan ‘nightlife’. Senang untuk kita jaga pemain-pemain kita nanti,” tambahnya lagi sambil memaklumkan pihak pengurusan sudah mengatur empat aksi persahabatan.
Kedah akan menentang naib juara C-League, Visakha FC, Boeung Ket Angkor FC, Angkor Tiger dan Phnom Penh Crown. Kesemua pasukan itu memiliki pemain skuad kebangsaan Kemboja kecuali Angkor Tiger yang merupakan kelab paling popular di Kemboja.
Ketika ditanyakan mengenai tempoh pra-musim yang panjang kali ini selain akan ada pusingan kelayakan ACL 2020 di antaranya, Aidil Sharin menjelaskan ada yang positif dan negatifnya untuk Kedah.
“Kita perlu kekalkan momentum lebih kurang sebulan selepas ACL ke 28 Februari [pembukaan Liga Malaysia]. Yang bagus, kita boleh memperbaiki [kekurangan] dan sesi pemulihan pemain,” ujarnya.
Kedah akan menentang Visakha FC pada 8 Januari, diikuti Boeung Ket Angkor FC (10 Januari), Angkor Tiger (12 Januari) dan sebelum pulang ke tanah air, menentang Phnom Penh Crown (14 Januari).
Kredit Foto: Kedah FA