Aksi matchweek ke-4 Selangor Champions League 2017 bermula dengan drama selepas Banting Naga FC menewaskan Ingress Penchala FC 3-1 berpihak dalam perlawanan penuh dengan kontroversi di Stadium Panasonic Shah Alam semalam.
Sebaik sahaja wisel pemainan dibunyikan, kedua-dua pasukan kumpulan A ini pantas melancarkan serangan ke atas kubu lawan masing-masing.
Namun Banting Naga terlebih dahulu mendapat peluang keemasan untuk membuka akaun jaringan seawal minit ke-6 perlawanan. Ketika hanya perlu menewaskan penjaga gol dalam situasi 1v1, penyerang mereka, Shah Razmi Jasmi hanya mampu membuat percubaan yang tersasar.
Barangkali tersentak dengan percubaan lawan mereka, Ingress Penchala bingkas mencipta peluang dan hasilnya berjaya mendapat satu peluang keemasan daripada satu hantaran lintang pemain sayap mereka.
Namun seperti penyerang Banting Naga tadi, penyerang Ingress Penchala juga gagal memanfaatkan peluang itu dengan menanduk liar melepasi palang.
Kelekaan barisan pertahanan Banting Naga pada minit ke-26 memakan diri apabila penyerang import Ingress Penchala kelahiran Brazil, Missi Missi Jonas berjaya melepaskan rembatan jarak dekat menewaskan penjaga gol, M. Pavithiran.
Banting Naga 0-1 Ingress Penchala.
Banting Naga yang tersentak dengan gol tersebut bangkit mengatur serangan demi serangan dalam usaha mendapatkan jaringan penyamaan. Namun seperti dua perlawanan mereka sebelum ini, mereka digagalkan oleh ketiadaan penyudah yang tajam.
Dengan ketiadaan penyerang semualajadi (penyerang P. Saravanan merupakan pemain sayap yang menjadi bidan terjun di bahagian serangan tengah) ditambah pula kekebalan barisan pertahanan Ingress Penchala, Banting Naga nampak seperti akan mengutip kekalahan kedua.
Masuk babak kedua, permainan tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan bermain agak berhati-hati berbanding separuh masa pertama.
Tanpa semena-mena pada minit ke-45 perlawanan, pemain pertahanan Ingress Penchala, Rahmat Azeme menembak kaki pasukannya sendiri selepas melakukan kekasaran sehingga dilayangkan kad kuning kedua lalu dibuang padang.
Pegawai-pegawai Ingress Penchala jelas berang dengan keputusan pengadil tersebut. Menurut mereka, pemain Banting Naga, P. Saravanan yang meluru ke arah Rahmat. Bukan sebaliknya.
Keputusan pengadil ini ternyata memberi impak tinggi kepada keputusan perlawana kerana sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil berikutan kesalahan Rahmat tersebut menghadiahkan gol penyamaan buat Banting Naga.
Sepakan percuma M. Vishnu di bucu kanan kotak penalti Ingress Penchala terus menewaskan penjaga gol Ingress Penchala, Jafri Ibrahim yang hanya mampu menggeleng kepala.
Gol penyamaan tersebut terus membuatkan Banting Naga kembali bernafsu untuk mencari gol. Gol ke-2 mereka tiba selepas P. Saravanan berjaya melepasi perangkap ofsaid Ingress sebelum membuat hantaran kepada K. Aathishesaan yang mudah menolak masuk bola ke gawang gol yang terbuka.
Pada minit ke-62, Banting Naga melebarkan jurang gol – sekali lagi melalui serangan balas – apabila Jacob Le Prince menewaskan seorang pertahanan dan penjaga gol Ingress Penchala untuk gol ke-3 pasukannya.
Di hujung perlawanan, kemenangan Banting Naga sedikit tercemar lantaran kad merah yang diterima oleh Jacob pada minit ke-65 selepas membaling botol air ke pemain lawan.
Dengan kemenangan 3-1 ini, Banting Naga FC melonjak ke tangga ke-3 Kumpulan A dengan 4 mata. Ingress Penchala FC pula satu tangga di bawah Banting Naga, tetapi mempunyai kelebihan 1 perlawanan.
Statistik perlawanan