Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menganggap kemenangan besar ke atas Perak adalah rezeki buat mereka kerana beliau tidak mensasarkan keputusan sebegitu.
Terengganu menang 5-0 ke atas Perak dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Zainal Abidin, yang menyaksikan mereka semakin mengukuhkan kedudukan ke-2 Liga Super selepas 14 perlawanan – berkongsi mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Percaturan berani Nafuzi Zain memberikan Faiz Nasir ruang beraksi di sebelah kiri di babak pertama berjaya mengeksploitasi kelemahan pelawat di sebelah kanan yang diterajui Amirul Azhan yang dilihat titik paling lemah buat skuad The Bos Gaurus.
Mungkin ramai yang menjangkakan yang posisi tersebut bakal digalas bintang muda sensasi Sang Penyu ketika ini, Hakimi Abdullah, yang dimasukkan di babak kedua.
Kemudian di babak kedua, pengendali berusia 42 tahun itu menggunakan pula kelebihan Faisal Halim di sebelah sayap kanan untuk merobek kubu Perak dan hasilnya, satu lagi gol tercipta selain dua jaringan menerusi sepakan penalti.
Ujar Nafuzi Zain di sidang media, “Bagi saya yang penting tiga mata sahaja. Menang 1-0 pun memadailah bagi saya. Tetapi dengan jaringan besar, itu adalah rezeki. Ada rezeki lebih malam ini. Tetapi, apa pun yang penting adalah tiga mata.”
“Kalau kita tengok pemain yang dua bulan tanpa perlawanan kompetitif, kita nampak dari segi kecergasan mengambil masa sedikit, dari segi sentuhan dan juga pergerakan. Sesetengah pemain tidak betul-betul cergas,” ujarnya lagi tentang aksi pemainnya.
“Alhamdulillah, tiga mata yang betul-betul berharga malam ini selepas dua bulan tidak beraksi. Kita tahu bertemu dengan Perak ini bukan perlawanan yang mudah. Saya pun tidak menyangka kemenangan besar 5-0,” ungkapnya lagi di sidang media.
Terengganu berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-19 selepas Faisal Halim memanfaatkan hantaran leret Faiz Nasir dari sebelah kiri ke kawasan gol dengan satu sentuhan mudah untuk menewaskan Hafizul Hakim di gawang pelawat.
Turun dengan perubahan ketara tanpa pemain-pemain yang telah meninggalkan pasukan serta ketiadaan Leandro dan Careca menyaksikan Perak seolah-olah hilang punca. Pemain import baharu, Charlie Machell pula diletakkan di bek tengah.
Percaturan berani pengendali Perak, Chong Yee Fatt itu dilihat memakan dirinya apabila Charlie Machell menjaringkan gol sendiri selepas dilihat cuba menampan hantaran lintang deras Faiz Nasir ke dalam kotak penalti di minit ke-41.
Sebelum itu, Perak berhasil meledak jaringan kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh David da Silva apabila Faisal Halim dijatuhkan pada minit ke-23.
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 5-0 @peraktbgmy
Terengganu FC meraih kemenangan besar di laman sendiri menerusi jaringan Faisal Halim, David da Silva, Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran, dan gol sendiri Charlie Machell.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/36WZ3AqwEm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 24, 2021
Faisal Halim terus menjadi tumpuan di babak kedua dengan gerakan-gerakan yang diciptanya dan hasilnya, Hakimi Abdullah yang dimasukkan di babak kedua berjaya mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-70 – gerakan seperti gol pertama.
Pemain tengah gantian, Nik Akif Syahiran menambah derita Perak dengan gol kelima tuan rumah selepas Danish Haziq didapati menjatuhkan Nik Akif di penghujung aksi.
Ketika ditanyakan tentang mencabar JDT di takhta liga, Nafuzi Zain enggan menjawab terus persoalan tersebut dan hanya memberi fokus terhadap pasukannya sahaja.
“Kita tahu baki perlawanan adalah lapan. Bagi saya setiap perlawanan penting, jadi kita cuba ambil semaksimum [mata] yang boleh. Dan jika kita konsisten macam ini, semestinya tempat kita itu berada di atas,” jelasnya tentang persoalan itu.
Terengganu berada di kedudukan kedua berdasarkan perbezaan jaringan dengan JDT dan pendahulu liga itu bakal turun berdepan UiTM FC pada aksi malam nanti.
Baca lagi artikel tentang Terengganu FC:
Biarpun Lee Tuck Kembali, Mata Tertumpu Kombinasi Dechi Marcel-Habib Haroon
Faisal Halim Sedia Saingi Hakimi Sebagai ‘Anak Emas’ Nafuzi Zain?