Jika sebelum ini, penyerang lagenda Perak, V. Saravanan membangkitkan kisahnya bersama skuad Piala Dunia Remaja 1997, Semuanya BOLA telah menghubungi seorang lagi ahli skuad tersebut, Nafuzi Zain untuk berkongsi rasa mengenainya.
Mungkin bagi sesetengah pihak skuad ini gagal mencapai objektif, namun Nafuzi Zain sebagaimana V. Saravanan melihat daripada segi ianya tetap mereka pengalaman dan juga pendedahan yang baik untuk menempuhi karier panjang mereka selepas itu.
Ya, Malaysia sebagai tuan rumah tersingkir awal, berada di dasar Kumpulan A tanpa sebarang mata, namun sedarkah semua, ia merupakan kejohanan tertinggi di dunia waima untuk skuad remaja. Cabarannya sangat besar buat negara seperti Malaysia.
Malaysia tewas 1-3 dalam aksi pembukaan menentang Maghribi, kemudian tewas 1-3 menentang naib juara kejohanan, Uruguay dan menutup kejohanan dengan tewas 0-3 kepada Belgium. Semua perlawanan itu berlangsung di Stadium Shah Alam.
Daripada skuad B-16 negara ke skuad Piala Dunia Remaja negara
Persediaan untuk menghadapi kejohanan terbesar peringkat remaja dunia telah dibuat seawal tiga tahun menurut Nafuzi Zain dan beliau ketika itu masih di bangku sekolah. Barisan pemain skuad ini sering berubah berdasarkan prestasi semasa pemain.
Sebagaimana konsep Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ketika ini, pemain yang berada di prestasi terbaik akan berada dalam skuad tersebut dan pemain yang menurun prestasinya akan dilepaskan untuk kembali ke pasukan negeri masing-masing.
Sebagai pemain daripada skuad Malaysia B-16, Nafuzi Zain yang merupakan seorang penyerang, sudah berada dalam senarai awal berbanding pemain-pemain lain yang dicungkil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi sesi pemilihan.
Lebih 5000 nama telah dipanjangkan kepada panel pemilihan FAM yang diketuai oleh Claude Le Roy dan dibantu oleh Chow Kwai Lam, Irfan Bakti, Lim Chuan Chin dan Lim Kim Choon. Ia kemudian disenarai pendekkan sehingga tinggal 35 nama sahaja.
“Sebenarnya sebelum ada pasukan tersebut, ada dibuat pemilihan satu Malaysia dan ada juga pemain yang diambil daripada kejohanan-kejohanan ketika itu macam Piala Razak, Piala Coke dan Piala Rahman,” jelas pengendali Terengganu FC itu.
“Pasukan juga tidak kekal dengan pemain yang sama. Mereka memantau prestasi semasa kita. Dalam pada itu, pemain-pemain yang menonjol di saingan liga juga akan ditarik untuk masuk ke skuad ini. Jadi, ada aktiviti keluar masuk pemain,” tambahnya.
Adakah skuad ini gagal?
Nafuzi Zain hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama ketika aksi pembukaan menentang Maghribi dan kemudian tampil sebagai pemain gantian dalam dua aksi seterusnya. Beliau dimasukkan pada minit ke-81 dalam kedua-dua aksi tersebut.
“Walaupun sudah kalah dua perlawanan, tetapi perlawanan ketiga itu semua masih bersemangat. Kita perlu jaga maruah negara dan setiap perlawanan kita ambil serius. Persediaan kita lama untuk kejohanan ini. Jadi, kita telah cuba berikan yang terbaik.
“Pasukan ini saya rasa, pendedahannya sangat meluas. Hampir semua benua kita telah pergi, kecuali Brazil, untuk sertai kejohanan di sana. Pasukan ini tidak duduk lama di Malaysia, lebih banyak keluar negara,” ceritanya lagi tentang pengalaman skuad itu.
“Bagi saya, projek itu gagal sebab kita tidak menang sahaja. Tetapi sejak awal kita tahu, ini kejohanan dunia, pemain-pemain yang kita lawan juga tahap mereka lebih tinggi. Ia bukanlah senang,” jelasnya sambil berkata Malaysia layak hanya sebagai tuan rumah.
Menurut Nafuzi Zain lagi, secara peribadinya, skuad Piala Dunia Remaja 1997 dan kejohanan itu yang telah membentuk diri dan juga karier bola sepaknya.
“Walaupun kini saya sudah bergelar jurulatih, saya masih menerapkan dan amalkan apa yang telah saya dapati ketika usia muda saya itu. Skuad tersebut seperti acuan kepada pembentukan karier saya,” tambahnya sambil menyebut nama dua pengendali.
Hubungan unik dengan B. Satiananthan dan Irfan Bakti
Irfan Bakti merupakan salah seorang panel pemilihan dan pembentukan awal skuad ini, sementara B. Satiananthan pula adalah pembantu kepada Hatem Souissi. Secara tidak langsung, dua pengendali ini telah membentuk diri Nafuzi Zain yang ada kini.
“Saya dengan coach Satia ibarat ayah dengan anak. Dari dulu [Piala Dunia Remaja] telah bersama. Masa kali pertama saya jadi coach pada 2011 pun, Satia yang tarik saya sertai skuad Piala Presiden Kelantan,” ujarnya yang menggantung but pada 2010.
“Bagi saya, hanya dua orang sahaja coach di Malaysia yang membantu perkembangan kerjaya saya iaitu Satia dan Irfan Bakti,” ujarnya yang telah membantu skuad Piala Presiden Kelantan menjulang kejuaraan pada tahun pertamanya melatih di sana.
Nafuzi Zain bersama Terengganu, pasukan yang paling lama beliau berkarier sebagai pemain, sebagai penolong kepada Irfan Bakti pada permulaan musim 2017. Mereka akhirnya meraih promosi ke Liga Super dan beraksi sehingga separuh akhir Piala FA.
“Peluang yang saya ada ketika ini adalah disebabkan coach Irfan Bakti yang ambil saya untuk membantunya,” jelasnya sambil berkata jasa kedua-duanya tidak ternilai.
‘NafuziBall’ dan pengaruh bola sepak luar
Sebelum ini tersebar mengenai corak permainan Terengganu yang menarik sehingga menerima gelaran taktikal ‘NafuziBall’ dan kredit buat dirinya sebagai pengendali.
Hasil didikan dua pengendali berpengaruh di Malaysia serta ditambah dengan hasil pembelajaran sendiri, Nafuzi Zain cuba membawa falsafahnya sendiri. Tambahnya, beliau tidak meletakkan mana-mana jurulatih dari luar negara sebagai idolanya.
“Bagi saya dari segi sistem atau taktikal, saya kena lihat kekuatan pasukan yang saya ada. Saya tiada spesifik untuk minat sesuatu atau sesiapa,” jelasnya sambil berkata jurulatih perlu bentuk taktikal sendiri berdasarkan skuad yang mereka ada di tangan.
“Saya juga ada membuat kajian dan belajar dari segi taktikal daripada pelbagai kaedah dan sumber. Saya hanya jurulatih muda dan masih dalam proses belajar. Saya ambil idea mereka [jurulatih lain] dan rangkum untuk bentuk taktikal saya,” ulasnya.
“Selain itu, cara menguruskan pasukan dan juga pemain, saya banyak belajar daripada coach Irfan Bakti,” akuinya mengenai gurunya dalam bidang pengurusan pasukan.
Penutup
“Sudah tentu, saya rasa teruja dan bangga untuk mewakili negara kita di kejohanan Piala Dunia. Ya, walaupun hanya peringkat remaja tetapi, ianya Piala Dunia,” ujar Nafuzi Zain selain turut berkata perbezaan ketara dari pelbagai aspek memang jelas ketika itu.
Walaupun ianya cuma peringkat remaja, dari segi tahap permainan pemain, taktikal dan fizikal, sememangnya negara lain berada di atas skuad Harimau Malaya. “Dari situlah pembentukkan diri saya sebagai pemain profesional bermula,” tegasnya.
Mungkin ada segelintir yang mengatakan skuad ini merugikan, namun itulah skuad terbaik yang dimiliki negara ketika itu yang telah dibentuk dengan sistem tersendiri. Dan mereka juga tidak pernah meminta digelar sebagai pemain lagenda negara.
KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC