Dominique da Sylva menjadi pemain pertama musim ini meledak empat gol dalam saingan CIMB Liga Super 2020 ketika membantu Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kedah 4-3 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Ia pastinya malam yang akan diingati semua, tidak kira daripada pihak Terengganu mahupun Kedah. Satu perlawanan yang boleh dikategorikan sebagai epik, bangkit untuk menang daripada ketinggalan, 10 minit sebelum perlawanan berakhir.
Sepanjang perlawanan, Kedah selaku tuan rumah menguasai sebahagian besar perlawanan dengan hanya beberapa ketika gandingan Faiz Nasir, Faris Ramli, Sanjar Shaakhmedov dan Lee Tuck hadir untuk mengucar-kacirkan kawasan kubu lawan.
Tuan rumah juga telah mendahului perlawanan 3-1 sehinggalah Dominique da Sylva meledak gol kedua pelawat pada minit ke-64 dan seterusnya dua lagi gol selepas itu.
“Dominique [da Sylva] adalah penyerang yang kita bawa untuk menggantikan [Kipre] Tchetche. Kita tahu, reputasinya [Kipre Tchetche] sangat besar di Terengganu, bukan senang untuk mencari pengganti sepertinya,” ujar Nafuzi Zain di sidang media.
“Tetapi saya percaya dengan kualiti yang dimiliki Dominique,” tegasnya lagi sambil menjelaskan yang mungkin aksi pertama ketika tewas kepada Perak adalah medan untuk penyerang berusia 30 tahun itu menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia.
“Mungkin dalam perlawanan pertama adalah penyesuaiannya dalam Liga Malaysia. Kita tahu bukan senang untuk penyerang menyesuaikan diri, terutamanya penyerang dengan tekanan untuk menjaringkan gol,” tambah Nafuzi Zain lagi.
Bercakap mengenai kesebelasan utamanya yang dikekalkan untuk berdepan Kedah, Nafuzi Zain menyatakan walaupun tunduk kepada Perak, pemain-pemain tersebut tiada masalah kerana itu adalah barisan terbaik yang Terengganu miliki setakat ini.
“Saya memang meletakkan keyakinan penuh kepada kesebelasan utama saya. Sebab saya tahu, di Terengganu [menentang Perak], bukannya kita atau prestasi pasukan kita yang teruk, tetapi selepas Perak mendapat gol, semangat kita menjadi luntur.
“Jadi, apa yang diperlukan pada perlawanan kali ini, saya hanya perlu memotivasikan pemain dari segi fizikal dan mental kerana kita tahu, bermain dengan Kedah di tempat mereka adalah sukar,” jelasnya mengenai senarai kesebelasan utamanya.
Dalam pada itu, Nafuzi Zain bersyukur dengan tiga mata penuh yang diraih, namun menyatakan ada aspek yang perlu diperbaiki terutamanya di barisan benteng yang telah melepaskan tiga gol, satu jumlah bolos yang sangat besar baginya.
KREDIT FEATURED IMAGE: ARENA HIJAUKUNING