Jurulatih bola sepak berpengalaman iaitu Nafuzi Zain dianggap memiliki tugasan berat kini bersama kem kebangsaan, apabila beliau sah dilantik selaku pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) Harimau Malaya.
Jika dilihat, tugasan Nafuzi mungkin tidak seberat rakan sejawat di skuad senior yang turut dilantik kini iaitu Peter Cklamovksi, namun beliau juga dianggap memiliki cabaran getir tersendiri.
Selain menaikkan kembali prestasi skuad pembangunan Harimau Malaya di pentas antarabangsa serta membuat persediaan bagi kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand, Nafuzi turut memiliki satu lagi tugasan getir.
Sudah tentu pengendali ini perlu melahirkan serta membekalkan pemain tempatan baharu berkualiti selaku pelapis skuad senior pada masa hadapan.
Malah, ada saranan menyatakan Nafuzi dapat melahirkan lebih ramai pemain muda yang memiliki kualiti setaraf Arif Aiman untuk memenuhi kehendak diperlukan pasukan senior Harimau Malaya.
Bekas pemain bola sepak legenda Malaysia, Datuk Jamal Nasir Ismail tampil memberi pandangan mengenai pelantikan Nafuzi buat pasukan kebangsaan dan beliau berharap jurulatih itu mampu melahirkan lebih ramai pemain setaraf bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut.
2- Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan
Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan ini bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan. pic.twitter.com/XBSpA4WkT9
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 16, 2024
“Kita tidak boleh terlalu bergantung pada pemain berstatus naturalisasi yang kini semakin ramai dalam pasukan kebangsaan, difahamkan permintaan untuk menjadi pemain naturalisasi semakin bertambah.
“Usaha melahirkan pemain tempatan berbakat tidak perlu dipandang mudah, saya berharap Nafuzi dapat menghasilkan seberapa ramai pemain setaraf Arif Aiman yang memiliki kebolehan luar biasa setiap kali beraksi dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya.
“Saya berharap peminat bolasepak tempatan dapat memberi sokongan pada Nafuzi dalam melahirkan pemain berbakat, pada masa sama turut sama menyokong Cklamovski yang akan memastikan skuad Harimau Malaya menyerlah dipentas antarabangsa,” katanya menerusi Harian Metro.
Terdahulu, Nafuzi Zain diperkenalkan selaku jurulatih B-23 Harimau Malaya seiring pengenalan Peter Cklamovski sebagai pengendali utama pasukan senior kebangsaan menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.
“Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.
“Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.
“Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024,” ulas laman itu.