Nafuzi Zain: KL City Bukan Hanya Tentang Dominique da Sylva

Paulo-Josue-Romel-Morales-Dominique-da-Sylva-KL-City-2021

“KL City bukan hanya tentang Dominique da Sylva seorang sahaja,” tegas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menjelang aksi kedua-dua pasukan pada esok (Jumaat).

Terengganu akan menanti kunjungan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam misi menamatkan rentetan dua keputusan seri di halaman sendiri. Walaupun Dominique bakal terlepas aksi ini, Nafuzi Zain tetap berjaga-jaga dengan lawan.

KL City tetap meraih kemenangan 2-1 pada aksi minggu lalu ke atas Sri Pahang FC walaupun tanpa Dominique, malah dalam dua aksi tanpa bekas penyerang Terengganu itu, The City Boys tetap meledak empat gol, satu lagi terikat 2-2 menentang PJ City.

Itu yang membuatkan Nafuzi Zain tetap berhati-hati berdepan skuad kendalian Bojan Hodak itu walaupun baru sahaja meraih kemenangan berharga ke atas Kedah FC.

Ujarnya kepada Stadium Astro menjelang pertembungan kedua-dua pasukan, “Kuala Lumpur bukan hanya tentang Dominique seorang sahaja. Kalau kita lihat, Paolo Josue, Romel [Morales] dalam dua perlawanan terakhir ini, mereka menang tanpa Dominique.”

“Secara keseluruhan, saya dapat lihat Kuala Lumpur beraksi secara berpasukan dan bukan bergantung kepada Dominique sahaja. Tanpa Dominique, mereka masih mendapat keputusan yang baik, jadi kami perlu berwaspada dan fokus,” ujarnya lagi.

Selain Paulo Josue dan Romel Morales, Nafuzi Zain turut menyebut Hadin Azman dan Indra Putra Mahayuddin sebagai pemain tumpuan dalam misi penting mereka untuk memburu kemenangan pertama selepas dua keputusan seri di halaman sendiri.

Sang Penyu hanya mampu merekodkan keputusan seri berdepan Melaka United (1-1) dan PJ City (0-0) dan mereka mahu menewaskan KL City sebagai penghargaan kepada para penyokong yang bakal kembali ke stadium pada perlawanan tersebut.

“Dengan kehadiran penonton buat kali pertama di sini, saya harap ia dapat memberi kami semangat sejak dari minit pertama. Kami sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir di sini, jadi kami berharap dapat mencapai kemenangan di tempat sendiri.

“Saya rasa pada ketika ini, tiada lagi kelebihan di laman sendiri buat Terengganu atau pasukan lain. Kerana jika dilihat, kami boleh mendapatkan keputusan yang baik di laman lawan dan bukannya di tempat sendiri,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Begitupun, Terengganu perlu memperbaiki sentuhan penyudah mereka yang terjejas dalam tiga perlawanan terakhir dengan hanya merekodkan tiga gol sahaja. Kembalinya David da Silva di jentera serangan seharusnya mampu membantu mereka.

Untuk rekod, Dominique da Sylva merupakan penyerang mereka musim lalu dan telah meledak sembilan gol peribadi, namun tetap gagal meraih kontrak lanjutan.

KREDIT FEATURED IMAGE: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Baca lagi artikel lain mengenai Nafuzi Zain dan Terengganu FC:

Corak Permainan Sama Cuma Keputusan Memihak Kami, Kata Nafuzi Zain

Kurniawan Dwi Yulianto: ‘Otak’ Serangan Terengganu Ada Pada Konate

Mengapa Terengganu Ambil Risiko Kembalikan Jordan Mintah Ke TFC II?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN