Nafuzi Zain: Kerana Impian Kami Juga Hendak Ke Final

Pengendali utama Kedah Darul Aman (Kedah), Nafuzi Zain memasang impian untuk membawa skuad kendaliannya itu mara ke pentas akhir Piala FA musim ini sekali gus memberi kegembiraan buat para penyokong.

Terdahulu, Kedah mencipta kekalahan tipis 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan separuh akhir pertama kejohanan tersebut di Stadium Darul Aman (SDA) bersama aksi cukup menyakinkan.

Walaupun tewas, Sang Kenari menampilkan kualiti permainan yang dianggap berjaya mengimbangi kekuatan gergasi Asia Tenggara itu sepanjang saingan berlangsung.

Disebabkan itu, para peminat Kedah sendiri ada yang turut menaruh harapan tinggi untuk melihat pasukan itu terbang lebih jauh dengan cuba mengejutkan Harimau Selatan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Ahad akan datang.

Walaupun menyedari cabaran getir bakal diberikan oleh JDT yang turut diperkuatkan oleh ribuan penyokong sendiri, Nafuzi tetap menaruh kepercayaan tinggi buat anak-anak buahnya pada hari perlawanan akan datang.

Pengendali berpengalaman itu turut menasihati para pemain supaya tampil berhabis-habisan pada aksi tersebut dan menunjukkan kualiti permainan terbaik untuk merealisasikan impian ke pentas akhir.

“Walaupun ketinggalan satu gol dan sedar aksi ini sangat sukar buat kami, namun kami bertekad untuk memburu kemenangan pada aksi kedua ini kerana impian kami juga hendak ke final dan itu tidak mustahil. Kami mahu terus mencuba sepanjang 90 minit perlawanan itu.

“Apa yang kami perlu lakukan adalah mencuba dengan sebaik mungkin, gandakan lagi semua usaha yang kami telah lakukan pada perlawanan lalu dan perlu mengatasi kelebihan yang ada pihak lawan yang akan beraksi di laman mereka sendiri,” kata beliau menerusi laporan Harian Metro.

Pada masa sama, Kedah juga dilaporkan kehilangan tiga tonggak utama pada aksi akan datang dengan Rizal Ghazali serta Sukhrob Nurullaev dilaporkan masih mengalami kecederaan.

Sementara itu, Syafiq Ahmad tidak dapat digunakan kerana beliau adalah pemain pinjaman daripada JDT untuk saingan musim ini bersama Kedah.

“Ketiadaan tiga tonggak utama itu ialah Rizal Ghazali, Sukhrob Nurullaev yang masih belum bersedia untuk beraksi akibat kecederaan dan juga penyerang Syafiq Ahmad yang tidak dapat diturunkan kerana berstatus pemain pinjaman.

“Namun saya tetap yakin dengan pemain lain yang akan menggalas tugas berat. Pemain perlu membawa bekalan semangat dan keyakinan yang cukup tinggi dalam diri,” katanya akhir sekali.

Dijangka pemain gantian seperti Wan Amirul Afiq, Faiz Nasir, serta Fayadh Zulkifli antara bakal mengisi kekosongan tersebut untuk perlawanan menentang JDT pada Ahad ini.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN