Quantcast

BERITA

Nafuzi Zain Kemungkinan Bimbing Terengganu FC Sehingga Akhir Musim

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil membayangkan kemungkinan akan mengekalkan pengendali sementara, Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih Terengganu FC sehingga akhir musim ini.

Walaupun terdapat beberapa calon jurulatih dari luar negara yang dikaitkan dengan pasukan itu, Tengku Farok menjelaskan pihaknya tidak begitu terdesak untuk mencari pengganti Irfan Bakti yang telah meletak jawatan secara mengejut minggu lalu.

“Kita tidak akan tergesa-gesa mencari calon ketua jurulatih baharu TFC I. Biarlah situasi (dalam kem skuad Penyu) kembali tenang.

“Pengendali sementara, Mohamad Nafuzi akan diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya mengemudi TFC I, kemungkinan besar sehingga akhir musim,” katanya kepada Kosmo!

Nafuzi Zain memulakan tugasan pertamanya sebagai pengendali sementara ketika menentang FELDA United. FOTO: TFC

Nama bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulises Morais mencuri tumpuan apabila media tempatan The Vocket, mendedahkan pengendali kelahiran Portugal itu akan kembali ke tanah air untuk bersama pasukan pantai timur itu.

Menurut sumber tersebut, pengalaman Morais di Liga Malaysia menjadi kayu pengukur kepada pemilihannya bagi mengisi jawatan ketua jurulatih Terengganu FC.

Morais bukan nama asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila beliau berjaya membimbing JDT dalam melakarkan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut (Liga Super 2017).

Beliau turut membantu skuad ‘Harimau Selatan’ merangkul gelaran juara Piala Malaysia pada musim yang sama apabila berjaya menewaskan Kedah 2-0 di perlawanan akhir.

Namun, jodoh Ulises Morais tidak bertahan lama apabila terpaksa memilih untuk meninggalkan JDT pada awal musim lalu atas alasan masalah kesihatan yang dialami ahli keluarganya.

"Ianya semestinya tugasan dan cabaran yang besar untuk mengambil alih tugasan daripada seorang jurulatih yang penuh ilmu…

Posted by Terengganu Football Club on Monday, May 20, 2019

Sepanjang melatih Terengganu FC, Irfan Bakti telah membawa pasukannya menjuara Piala FA pada tahun 2011, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negeri itu.

Kembalinya buat kali ke-2 pada tahun 2017, beliau memastikan Terengganu FC merangkul Naib Juara Liga Premier sehingga membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia tahun lepas.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!