Pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Nafuzi Zain bersama penyerang import musim ini, Milos Gordic antara yang paling banyak mendapat kritikan segelintir penyokong kini menerusi media sosial.
Apa tidaknya, prestasi semasa ditampilkan oleh Kedah kini dianggap sangat menyedihkan apabila mereka gagal meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi lima perlawanan berturut-turut.
Kali terakhir Kedah berjaya memperoleh kemenangan pada 12 Julai lalu sewaktu Sang Kenari membenam cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) menerusi keputusan 3-0.
Selepas itu, Kedah gagal meraih sebarang kemenangan di pentas domestik dengan tiga kekalahan serta dua kali seri direkodkan pasukan tersebut sehingga menimbulkan kemarahan peminat.
Hadir dengan persiapan serba tidak menjadi sejak awal musim, Kedah gagal untuk mencapai konsistensi dalam permainan selain beberapa pemain tampil bersama kualiti permainan cukup mengecewakan.
Lebih mengecewakan pastinya membabitkan pemain import yang sesetengahnya dianggap gagal untuk memberikan mutu terbaik buat pasukan sehingga kini.
Di media sosial, segelintir penyokong tampil memberikan kritikan kepada mutu permainan dicipta Nafuzi Zain buat Kedah yang sehingga kini masih belum memberikan impak secara konsisten di atas padang.
Malah kemuncak kemarahan itu hadir ketika Kedah sekadar tewas 1-3 baru ini di tangan wakil Indonesia iaitu Malut United bagi saingan Nusantara Challenge 2024 walaupun mereka beraksi di halaman sendiri.
Antara faktor kemarahan penyokong buat Nafuzi bukan sahaja berkisarkan perlawanan semalam, tetapi pastinya bersangkut kepada pemilihan jurulatih itu untuk terus meletakkan penyerang import, Milos Gordic dalam kesebelasan utama walaupun pemain tersebut gagal memberikan sebarang impak.
Milos yang diletakkan di posisi sayap pada beberapa aksi lalu gagal untuk memberikan sebarang impak dalam permainan walaupun semalam masih segar dengan sentuhan jaringannya.
Beraksi di posisi serangan, Milos setakat ini hanya meledak satu gol sahaja di saingan Piala FA serta masih belum membuka sebarang akaun jaringan di pentas Liga Super.
Sudah tentu jaringan semalam ditagih supaya beliau kembali menemui momentum penyudah di hadapan gawang gol, sebaik sahaja tirai saingan kembali bersambung.
Selain itu, kealpaan Kedah yang sering mengendurkan permainan ketika sedang mendahului dalam mana-mana perlawanan lalu juga sering memberi tanggapan negatif buat segelintir penyokong yang dianggap mengecewakan.
Suka atau tidak, perubahan lebih positif ditagih kini buat kem Kedah jika mereka ingin terus memberi persaingan sengit buat pasukan lawan musim ini, terutama sekali membabitkan corak permainan serta rombakan pemain import.