Terengganu FC tewas buat kali ketiga berturut-turut, kali ini kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 0-1 dan Nafuzi Zain mengakui ada menerima surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan.
Baginya, ia adalah normal untuk dikenakan surat tunjuk sebab atas keputusan yang diraih tempohari, namun tiada tekanan di pihaknya. Menurutnya, Terengganu ketika ini bukan bersaing untuk penyingkiran.
Oleh itu, tiada tekanan buat Nafuzi Zain disebabkan surat tunjuk sebab itu kerana baginya, walau apa pun yang berlaku, Terengganu masih berpeluang bersaing untuk kedudukan kedua terbaik liga.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS21
UiTM FC tersingkir ke Liga Premier pada musim hadapan.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/BFln9OhUjt
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 4, 2021
Sebelum tewas kepada Harimau Selatan, Terengganu turut kehilangan mata berdepan Kedah Darul Aman FC (tewas 1-2) dan KL City (tewas 0-1). Ini adalah punca surat tunjuk sebab telah dikeluarkan.
“Itu saya tidak nafikan [terima surat tunjuk sebab]. [Terima] Selepas sesi latihan petang semalam untuk aksi malam ini. Bagi saya, itu normal dengan kekalahan dua perlawanan berturut-turut,” jelasnya.
“Ya, saya ambil tanggungjawab. Saya tahu semua kecewa. Tetapi bagi saya, kita ketika ini sedang bersaing untuk tempat teratas. Apa yang penting kepada pemain sekarang adalah sokongan moral.
“Saya menerima sahaja apa pun keputusan daripada pengurusan dan surat itu adalah daripada CEO [Ketua Pegawai Eksekutif] sendiri disebabkan dua kekalahan tersebut,” ujar Nafuzi Zain di sidang media.
Mengulas mengenai pengguguran penyerang, David da Silva untuk aksi ini, Nafuzi Zain berkata ia atas faktor taktikalnya selepas melihatkan keyakinan pemain itu untuk turun berdepan JDT agak kurang.
Faisal Halim merupakan pilihan terakhirnya selepas penyerang Terengganu FC II, Jordan Mintah yang cuba dibawanya juga mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan sehingga ke hujung musim.
“David [da Silva] adalah seorang penyerang yang bagus. Tetapi dari segi keyakinan itu agak menurun. Dan, penggantinya, Jordan Mintah pula mengalami kecederaan. Dari segi taktikal untuk berdepan JDT, kita rasa Faizal Halim sesuai untuk bermain dengan JDT,” jelasnya mengenai situasi tersebut
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 0-1 @OfficialJohor
Johor Darul Ta'zim mencatat kemenangan kesepuluh berturut-turut menerusi jaringan Shane Lowry pada separuh masa pertama.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/nwqBGm9Vdq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 4, 2021
Jaringan pertahanan tengah, Shane Lowry di penghujung babak pertama sudah cukup buat JDT untuk membalas dendam kekalahan mereka di pusingan pertama liga sebelum ini apabila Terengganu tampak gagal untuk bangkit menjaringkan gol di laman sendiri sepanjang aksi babak kedua berlangsung.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang berhati-hati dalam cuba untuk mendapatkan keputusan positif. JDT turun dengan skuad terbaik mereka dengan meletakkan dua bek tengah import, Shane Lowry dan Mauricio untuk menghadapi tentangan yang bakal diberikan oleh jentera serangan lawan.
Begitupun, taktikal perlawanan yang lebih defensif di babak pertama oleh Sang Penyu telah berjaya mengekang pelawat untuk mencipta sebarang gol, mahupun mencipta asakan ke benteng tuan rumah.
Kekalahan ini menyebakan Terengganu gagal menambah jurang mata dan Penang FC berpeluang untuk memintas kedudukan ketiga mereka apabila akan turun beraksi berdepan Sri Pahang pada malam ini.