Nafuzi Zain Akui Kedah ‘Terdesak’ Perlukan Pemain Baharu

Pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Nafuzi Zain mengakui pasukan kendaliannya itu kini memerlukan pemain baharu untuk terus mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Terdahulu, Kedah boleh dikatakan kembali mengulangi skrip yang sama dicipta oleh Kelantan The Red Warriors (TRW) pada tahun lalu yang terpaksa menggunakan barisan pemain muda atas faktor kewangan.

Laporan terdahulu menyatakan Sang Kenari tiada pilihan lain untuk menggunakan bakat-bakat muda dari skuad KDA B selepas ada pemain senior tampil boikot daripada menjalani sesi latihan.

Boikot tersebut dikatakan berlaku selepas para pemain tidak mendapat pembayaran gaji yang sepatutnya diterima mereka atas faktor kewangan kelab yang dianggap kian meruncing sejak awal saingan berlangsung.

Tanpa tajaan utama yang kukuh, situasi kini menyaksikan ada pemain meninggalkan kelab dengan lebih awal untuk menyertai pasukan baharu demi mendapat sumber kewangan sepatutnya.

Disebabkan itu, Nafuzi terpaksa menggunakan barisan pemain muda secara menyeluruh pada aksi Liga Super lalu membabitkan pasukan berkenaan menentang cabaran Kuala Lumpur City (KL City).

Hasilnya, Kedah terpaksa meratapi kekalahan besar 0-5 di Cheras dengan KL City menggunakan segala pengalaman dimiliki untuk memberi ‘pengajaran terbaik’ kepada barisan tunas muda Sang Kenari.

Menurut Nafuzi, beliau tidak dapat menghalang buat mana-mana pemain untuk meninggalkan pasukan itu kini kerana mereka juga mempunyai komitmen tersendiri untuk dijaga.

“Setakat ini kita ada kehilangan beberapa pemain dan mereka keluar pun sebab perlukan sesuatu untuk diri sendiri kerana sebagai pemain ada tanggungjawab.

“Mungkin saya rasa, mungkin akan ada pemain yang akan keluar tetapi saya tidak boleh pastikan perkara itu 100 peratus kerana setakat ini hanya dua pemain, Habib Haron dan Kalamullah (Al-Hafiz),”kata beliau menerusi laporan Harian Metro.

Pada masa sama, bekas pengendali Terengganu itu turut berharap supaya ada pemain baharu dapat didaftarkan pada jendela perpindahan terbaharu ini untuk memastikan mereka mampu terus bersaing.

“Saya harap kita dapat selesaikan masalah ini dan kita dapat mendaftarkan pemain baharu untuk menggantikan pemain berkenaan bagi menambah kekuatan pasukan kerana kita memang perlukan beberapa pemain baru.

“Selagi jendela perpindahan pemain masih terbuka, masih ada ruang untuk pemain untuk mencari tempat baru. Dari pihak pengurusan pun kita tahu, mereka bekerja keras untuk menyelesaikan semuanya termasuk mendapatkan pemain baru yang hilang (berpindah).

“Sebab kita tahu jendela perpindahan ini tinggal beberapa hari saja lagi dan ia bukan tempoh yang panjang dan semua benda ini perlu diselesaikan (segera),” ujar Nafuzi akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN