Nafi Sebarang Salah Laku, Sabah FC Cabar Pihak Berkenaan Tampilkan Bukti

Nafi telah melakukan sebarang salah laku atau penyelewengan, Sabah FC dalam satu kenyataan semalam berkata pihak mereka sedia untuk disiasat untuk membuktikannya.

Semalam peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan laporan sebuah portal yang mendedahkan salah laku di kalangan pengurusan tertinggi kelab dari Borneo itu yang menyeleweng dana pasukan.

Laporan tersebut mendedahkan bagaimana pertukaran pemain import dipercayai dijadikan kesempatan untuk meletakkan gaji yang tinggi bagi pertukaran pemain namun sebahagian wang yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut sebenarnya dipotong untuk kegunaan sendiri dengan kerjasama ejen.

Laporan tersebut turut mendedahkan tidak kurang tiga pegawai dari kalangan pengurusan Sabah FC terlibat dengan ‘kerja songlap’ tersebut. Ada pemain yang ditawarkan sehingga RM33,000 namun, sejumlah RM18,000 dipotong individu-individu tersebut untuk disalurkan ke poket sendiri.

Laporan yang sama turut mendedahkan bagaimana pembelian kelengkapan di stadium seperti pembelian paparan LED yang bernilai RM300,000 menjadi RM800,000 apabila dibeli oleh Sabah FC, selain alat menyukat bacaan jantung (catapult) yang berharga RM300 di pasaran dibeli dengan harga RM130,000 oleh kelab bola sepak itu.

Sabah FC nafi dakwaan

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sabah FC semalam, kelab dari Borneo itu menafikan semua tuduhan yang ditulis oleh portal online itu. Sabah FC turut tampil menjelaskan bagaimana setiap transaksi yang didakwa dipalsukan dilakukan.

“Untuk pengetahuan, semua urusniaga perpindahan pemain (pemain  import) mempunyai dokumen rasmi dengan mengikut prosedur ditetapkan serta bukan dijalankan secara sesuka hati,” jelas Sabah FC melalui kenyataan yang disiarkan.

“Tiada isu “mark up” seperti yang dilaporkan. Sabah FC cuma membayar RM30,000 untuk kos logistuk LED ke Kota Kinabalu dan ia merupakan sumbangan daripada salah satu penaja kelab untuk musim ini.

“Bagi sistem Catapult pula, hanya RM65,000 dibelanjakan kelab dan ia dibeli secara terus dari Australia, tanpa membabitkan mana-mana orang tengah (ejen), tidak seperti yang dinyatakan dalam portal tersebut.”

Tindakan undang-undang

Sehubungan dengan itu kelab tersebut turut mencabar pihak yang membuat dakwaan liar tersebut mengemukakan bukti salah laku telah dilakukan.

Dalam kenyataan yang sama Sabah FC turut mengesahkan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang berterusann menabur fitnah atau dakwaan yang tidak berasas seperti itu.

“Sabah FC percaya segala tuduhan tidak berasas ini adalah dengan niat untuk menjatuhkan imej serta kerja keras yang dibuat pihak pengurusan selama ini,” tambah kenyataan tersebut lagi.

“Fokus utama kelab adalah untuk meletakkan Sabah FC di landasan yang betul di dalam mahupun luar padang.

Leave a Reply