Kebangkitan dramatik selepas ketinggalan dua gol telah membawa skuad Belgium ke peringkat suku akhir selepas menundukkan Jepun 3-2 sebentar tadi.
Tanpa jaringan di babak pertama
Jepun bermula dengan meyakinkan apabila memberikan ancaman ke kubu Belgium setelah rembatan Shinji Kagawa sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol sebaik sahaja perlawanan dimulakan.
Turun sebagai pasukan pilihan, Belgium yang dibimbing Roberto Martinez dilihat lebih banyak mencipta gerakan bagi memburu jaringan.
Bagaimanapun usaha mereka seringkali digagalkan dengan kekentalan jentera pertahanan Jepun yang pantas memberikan perlindungan buat Eiji Kawashima di gawang gol.
Setelah berhempas pulas mengatur gerakan, Eden Hazard melakukan rembatan kaki kiri yang menarik dari luar kotak penalti, namun percubaan ketua pasukan Belgium itu ditumbuk keluar Kawashima pada minit ke-27.
Jepun juga tidak sesekali menghadirkan ancaman buat Belgium.
Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-34 apabila Shinji Kagawa yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Belgium membuka ruang buat Yuto Nagatoma untuk melakukan hantaran lintang kepada Takashi Inui.
Inui yang melakukan tandukan hampa apabila Thibaut Courtois mudah menangkap kemas percubaan tersebut.
Courtois melakukan kesilapan pada penghujung babak pertama yang hampir memakan diri setelah tangkapan yang cuba dilakukan tidak kemas, mujur beliau sempat bertindak bagi menyelamatkan keadaan.
Aksi dramatik babak kedua
Jepun mengejutkan skuad bintang Belgium tiga minit selepas perlawanan kembali bersambung menerusi Genki Haraguchi.
Haraguchi yang mendapat lorongan cantik daripada Gaku Shibasaki dari tengah padang yang gagal disekat Jan Vertonghen, tidak melepaskan peluang untuk menewaskan Courtois bagi jaringan pendahuluan.
Tersentak dengan jaringan itu, Belgium menyusun rentak dengan percubaan terbaik hadir seminit kemudian menerusi Eden Hazard tetapi rembatannya terkena tiang gol.
Jepun sekali lagi membuatkan kem Belgium tergamam selepas Inui meledakkan rembatan dari luar kotak penalti yang terus menerjah gawang Courtois pada minit ke-52.
Tertekan dengan ketinggalan dua jaringan, Martinez melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Marouane Fellaini dan Nacer Chadli bagi menggantikan Dries Mertens dan Yannick Carrasco.
Pertukaran tersebut dilihat memberikan impak yang positif apabila Belgium merapatkan jurang pada minit ke-69 menerusi jaringan Vertonghen yang menanduk masuk bola selepas Kawashima berada sedikit di luar posisinya.
Berselang lima minit kemudian, Fellaini terus menceriakan penyokong mereka selepas tandukannya memberikan jaringan penyamaan untuk terus menghidupkan peluang buat skuad Belgium.
Ketika Jepun ghairah memburu jaringan di masa kecederaan, satu serangan balas pantas yang dihasilkan Belgium menoktahkan api perjuangan Jepun dengan jaringan kemenangan penuh dramatik disempurnakan Nacer Chadli.
Dengan kemenangan ini, Belgium akan bertemu Brazil di peringkat suku akhir.