Liverpool mengesahkan telah mencapai persetujuan dengan kelab Bundesliga, RB Leipzig berkenaan dengan perpindahan pemain tengah dinamik, Naby Keita.
Persetujuan antara kedua-dua kelab ini akan menyaksikan pemain berusia 22 tahun ini berhijrah ke Anfield pada 1 Julai 2018 – selepas kempen musim 2017/2018 tamat.
Keita, pemain antarabangsa Guinea, menyertai Leipzig dari kelab Austria, Red Bull Salzburg pada tahun 2016 dan telah menjaringkan 8 gol dalam 31 penampilan Bundesliga pada musim 2016/2017. Beliau turut membantu Leipzig menduduki tangga ke-2 liga di belakang Bayern Munich.
Keita yang nyata gembira dengan persetujuan perpindaan ini memberitahu media beliau akan menjadi mula menjadi penyokong Liverpool pada musim ini.
“Komitmen saya dengan RB Leipzig tetap berada di tahap tertinggi, sehingga tiupan wisel terakhir dan di penampilan terakhir. Persetujuan ini membolehkan saya fokus membantu Leipzig pada musim ini sambil menjadi penyokong Liverpool dari jauh.”
Urusan perpindahan ini sudah pastinya turut akan menggembirakan Leipzig kerana mereka kini mempunyai masa yang cukup – 10 bulan – untuk mencari pengganti Keita.
Bagi Liverpool, dengan kehadiran Keita pada musim depan bermakna, mereka kini mempunyai seorang lagi pemain tengah box-to-box yang lincah, berstamina tinggi, rajin dan mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi.
Profil Keita ini nyata secocok dengan corak permainan ‘heavy metal’ Jurgen Klopp yang berintensiti tinggi.
Pada masa yang sama, kehadiran Keita juga bererti Jordan Henderson perlu meningkatkan tahap persembahannya jika mahu terus bermain dalam kesebelasan utama Liverpool masa musim depan.
Liverpool kini miliki 3 pemain Afrika terbaik
Dengan yuran perpindahan sebanyak £48 juta (€70 juta jika mengikut laporan Transfermarkt), Naby Keita kini merupakan pemain dari benua Afrika yang paling mahal di dunia.
Dalam pada masa yang sama, Liverpool turut mempunyai 2 pemain benua Afrika yang termahal selepas Keita.
Mohamad Salah adalah pemain Afrika kedua termahal selepas Keita dengan yuran perpindahan sebanyak £37 juta (€42 juta menurut laporan Transfermarkt).
Selepas Keita dan Salah, Sadio Mane adalah pemain Afrika ketiga termahal dengan yuran perpindahan sebanyak £34 juta (€41.2 juta menurut laporan Transfermarkt).
https://twitter.com/LFCVine/status/902299475565314049
Menariknya meskipun gaya permainan dan posisi ketiga-tiga pemain ini berbeza-beza, mereka mempunyai banyak persamaan.
Ketiga-tiganya berstamina tinggi, lincah, rajin, lincah, mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan paling penting – memahami corak permainan gegenpressing yang dituntut Jurgen Klopp di Liverpool.
Sumber:
1. Transfermarkt (2017). Player profile – #19 Sadio Mané. Transfermarkt. https://www.transfermarkt.com/sadio-mane/profil/spieler/200512
2. Transfermarkt (2017). Player profile – #11 Mohamed Salah. Transfermarkt. https://www.transfermarkt.com/mohamed-salah/profil/spieler/148455
3. Transfermarkt (2017). Player profile – #8 Naby Keïta. Transfermarkt. https://www.transfermarkt.com/naby-keita/profil/spieler/302215
4. Liverpool (2017). Liverpool agree deal to sign Naby Keita. Liverpool FC. http://www.liverpoolfc.com/amp/news/first-team/273590-liverpool-agree-deal-to-sign-naby-keita