“Jangan biarkan luka lama berdarah kembali. Ubati luka itu dengan sorak gempita kejayaan.”
Malaysia akan melalui situasi yang sama dengan edisi 2016 di mana perlawanan terakhir peringkat kumpulan bakal menjadi penentu hidup mati skuad Harimau Malaya. Dan sekali lagi, nasib Malaysia berada di tangan skuad Singa Asia, Myanmar.
Untuk rekod kejohanan Piala AFF, sepanjang 12 edisi, Malaysia dan Myanmar telah bertembung dalam 4 edisi. Dan yang menariknya, mereka telah memenangi dua perlawanan, seri dua kali dan tewas sekali. Ya, Malaysia cuma menang sekali sahaja.
Dan untuk aksi selain Piala AFF pula, sejak 2008, Malaysia dan Myanmar telah berentap sebanyak lima kali. Harimau Malaya dan Singa Asia terikat dengan dua kemenangan, sementara baki satu lagi perlawanan menyaksikan keputusan terikat seri.
Ini adalah satu perlawanan yang sukar buat Tan Cheng Hoe dan para pemainnya. Biarpun lawan hanya berada di ranking ke-141 dunia, namun cabaran yang mampu dihadirkan oleh mereka tidak boleh dipandang rendah oleh Harimau Malaya.
Malam ini, Myanmar dan Vietnam bakal bertarung dan walau apa pun keputusannya, Malaysia tetap perlu menewaskan mereka dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di hadapan penyokong sendiri.
Memori pahit Piala AFF 2016
7 pemain di dalam skuad Piala AFF 2018 ini telah merasai peritnya tersingkir di tangan Myanmar pada edisi lalu. Dan 5 daripadanya beraksi dalam perlawanan terakhir tersebut di mana Malaysia tumpas 0-1 dengan gol dijaringkan pada minit ke-89.
Tujuh pemain yang berada dalam skuad edisi 2016 adalah kapten edisi kali ini, Zaquan Adha, Khairul Fahmi, Shahrul Saad, Norshahrul Idlan Talaha, Hazwan Bakri, Syazwan Zainon dan Hafizul Hakim.
Sepanjang perlawanan, dengan situasi memerlukan kemenangan, para pemain skuad negara dilihat seolah-olah bertindak sebaliknya. Diketuai oleh kapten, Amri Yahya, Harimau Malaya hanya beberapa kali tampak ‘berminat’ untuk menguji penjaga gol lawan.
Lawan yang beraksi di halaman sendiri dilihat lebih menguasai perlawanan dengan deretan peluang dicipta dan akhirnya berjaya diterjemahkan oleh David Htan dengan gol di minit-minit akhir.
Tertunduk, terduduk, terpaku. Apa lagi yang mampu diluahkan?
Situasi yang sama selain 2016 dan 2018
Ini bukanlah kali kedua skuad negara terpaksa bergantung dengan keputusan perlawanan terakhir untuk melepasi saingan peringkat kumpulan. Selain edisi 2016, acap kali juga skuad negara terpaksa berhadapan dengan situasi yang hampir sama.
Cuma, ada yang memihak kepada Malaysia dan ada yang berkesudahan dengan episod duka buat skuad kebangsaan.
Pada 2014, Malaysia dan Myanmar berkongsi 1 mata sementara Singapura dengan 3 mata. Perlawanan terakhir bakal menjadi penentu peneman Thailand ke separuh akhir. Malaysia menang ke atas Singapura, Myanmar tewas. Malaysia ke separuh akhir.
Di edisi 2012, Malaysia berjaya membenam hasrat Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir. Indonesia yang berada di takhta, hilang tiket ke separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Malaysia dan Singapura menang tipis ke atas Laos.
Banyak lagi contoh yang boleh kita ketengahkan, tetapi cukuplah sekadar itu sahaja. Apa yang penting, Harimau Malaya tidak perlu mengalah walau apa jua keputusan antara Vietnam dan Myanmar pada malam ini. Penentuannya adalah pada Sabtu depan.
Sejarah boleh berulang
Melihat situasi ketika ini, sejarah mungkin boleh berulang. Singa Asia sekali lagi boleh menyingkirkan Harimau Malaya. Prestasi Myanmar dalam dua perlawanan ketika ini sangat baik. Aksi menentang Vietnam pasti akan diikuti rapat oleh semua.
Ini kerana, keupayaan Myanmar akan ditentukan oleh keputusan menentang Vietnam. Malaysia dan Myanmar menggunakan formasi yang hampir sama. Selain itu, setakat dua perlawanan, mereka juga menguasai perlawanan seperti Malaysia- lebih 60%.
Dengan Malaysia telah tumpas 0-2 kepada Vietnam, keputusan Myanmar pada malam ini akan memperlihatkan sedikit bayangan hasil perlawanan terakhir peringkat kumpulan antara Malaysia dan Myanmar nanti. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan.
8 pemain Myanmar yang dibawa oleh Antoine Hey dalam edisi kali ini pernah beraksi pada edisi sebelumnya dan berpengalaman untuk menewaskan Harimau Malaya termasuklah penjaring gol pada malam penentuan dua tahun lalu, David Htan.
Dengan Myanmar bersemangat mahu mengulangi pencapaian pada edisi yang lalu iaitu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, Malaysia berkemungkinan bakal berdepan dengan kekuatan dan wajah sebenar skuad Singa Asia itu nanti.
Throwback; Stadium Nasional Bukit Jalil pernah menjadi saksi bisu skuad negara tumpas kepada Myanmar dalam saingan Piala AFF. Dan jika Cheng Hoe gagal menyelesaikan masalah yang ada dalam pasukan ketika ini, Myanmar sekali lagi akan mengatasi Malaysia.
Edisi 2004, jaringan tunggal Soe Myat Min di minit ke-20 sudah cukup membantu Myanmar menewaskan skuad kendalian Bertalan Bicskei yang sebelum itu cemerlang dalam dua perlawanan awal; menang 5-0 ke atas Timor Leste dan 4-1 ke atas Filipina.
Adakah sejarah pahit bakal berulang kembali? Semuanya terletak di bahu barisan pemain kesebelasan utama yang akan diturunkan pada Sabtu depan. Malaysia perlu mencari sentuhan jaringan yang ‘hilang’ ketika perlawanan menentang Vietnam tempohari.
Bantuan sokongan para penyokong Harimau Malaya juga amat ditagih. Harimau Malaya memerlukan ‘ekornya’ untuk aksi penentuan ini. Ketepikan perbezaan pendapat dan juga emosi masing-masing, sama-sama kita palu sorakan pada Sabtu ini;
“Yuh Ayuh, Ayuh Malaysiaku, Hari ini kita mesti menang!”