Ibarat ‘tua-tua keladi, semakin tua semakin menjadi’ – itulah peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan Amri Yahyah yang menjaringkan hatrik untuk membantu Sabah FC membenam Kedah Darul Aman FC 4-0 di dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada Ahad lalu.
Pada usia 41 tahun, Amri Yahyah dianggap sebagai pemain paling senior yang masih memerah kudrat di saingan domestik tertinggi bola sepak negara.
Hatrik yang dijaringkan pada Ahad lalu menentang Kedah di Stadium Likas turut akan terpahat sebagai hatrik yang dihasilkan pemain paling berusia di dalam saingan tertinggi bola sepak negara.
Lebih dua dekad memerah kudrat di saingan Liga Malaysia, tidak dinafikan Amri ibarat ‘special gem’ yang begitu jarang ada.
Mat Motor dari team belia
Mengenang kehebatan itu, bekas pemain Selangor dan kebangsaan yang kini merupakan Pembantu Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil berkongsi kekaguman beliau akan pencapaian Amri Yahyah melalui satu ciapan di Twitter.
Nidzam yang sempat beraksi bersama Amri di dalam skuad Selangor turut berkongsi kisah karier awal Amri yang menyertai skuad utama Selangor sekitar 2001.
Pre season Selangor tahun 2001 Coach Haji Rahman panggil sorang budak ala2 mat motor dr team belia join senior team training.Gua tackle dia bangun,gua langgar dia datang lagi.Jenis hati kering.Smlm budak mat motor tu score hatrik diusia 41 tahun. My huge respect to Amri Yahya.
— Nidzam Jamil (@nidzamjamil) April 25, 2022
“Pre season [latihan pra musim] Selangor tahun 2001, Coach Haji Rahman (Abdul Rahman Ibrahim) memanggil seorang budak ala-ala ‘Mat Motor’ dari team belia join [menyertai] team training.
“Gua [saya] tackle, dia bangun. Gua langgar, dia datang lagi. Jenis hati kering.
“Semalam budak ‘Mat Motor’ tu score [jaringkan] hatrik di usia 41 tahun. My huge respect to Amri Yahyah,” tulis Nidzam di Twitter peribadi beliau.
Ciapan oleh Nidzam itu sebenarnya berbentuk satu apresiasi atau penghargaan kepada karier Amri Yahyah yang sentiasa konsisten walapun semakin dijamah usia.
Tidak ramai pemain yang mampu berbuat demikian.
Karier luar biasa Amri Yahyah
16 tahun beraksi bersama pasukan Selangor, Amri pernah dianggap sebagai antara pemain terbaik yang pernah dilahirkan oelh pasukan itu selepas Mokhtar Dahari.
Lahir pada tanggal 21 Januari 1981, anak jati Tanjung Karang ini merupakan penjaring gol terbanyak untuk pasukan Red Giants dengan lebih 100 gol.
Segalanya bermula pada 20 tahun yang lalu, apabila Amri menyertai skuad Piala Milo Selangor selepas berjaya melepasi sesi pemilihan di Kelana Jaya.
Setahun kemudian, Amri berjaya menjuarai Piala Milo setelah membantu pasukan Selangor menewaskan Johor 2-1 di Stadium Larkin.
41-year-old Amri Yahyah rolled back the years in the Malaysia Super League last night with a superb hat-trick to inspire Sabah FC to a surprisingly emphatic win over Kedah Darul Aman FC. pic.twitter.com/UQXMBWsXiJ
— Asian Football (@AsianFootballs) April 25, 2022
Disebabkan aksi cemerlangannya bersama skuad bawah umur, beliau telah dipanggil oleh Abdul Rahman Ibrahim yang merupakan ketua jurulatih skuad senior Selangor pada tahun 2001.
Sepanjang bersam Selangor, Amri pernah membantu gergasi Lembah Klang itu menjuarai dua gelaran Liga Super, tiga Piala FA, dan dua Piala Malaysia.
Musim 2014, Amri berhijrah menyertai JDT dan membantu revolusi kelab selatan tanah air itu menjuarai tiga kejuaraan Liga Super, satu Piala FA, dan Piala AFC pada 2015.
Berdasarkan pencapaian tersebut, Amri boleh dianggap sebagai salah seorang pemain paling berjaya di dalam sejarah Liga Malaysia.
Sempat bersama Melaka United, kembali ke Selangor untuk dua musim, Amri kemudian dilamar Sarawak United sebelum menyertai Sabah FC sejak musim lalu.