Di atas kertas, Kedah dijangka boleh mengatasi wakil Hong Kong yang juga merupakan juara Hong Kong Premier League musim lalu, Tai Po FC dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 pada 21 Januari depan di Stadium Darul Aman.
Kelab yang ditubuhkan hampir 17 tahun lalu itu merupakan kelab daripada daerah di Hong Kong yang pertama, sejak Yuen Long memenangi kejuaraan tahun 1963. Musim ini, Tai Po FC dilanda masalah yang mungkin mengganggu persediaan mereka.
Perubahan kecil ‘Green Yellow’
Kedah sudah melengkapkan senarai pemain untuk musim 2020 apabila dua pemain disahkan menyertai pasukan iaitu penjaga gol FELDA United, Azri Abd Ghani dan pemain import, Amin Nazari.
Azri Abd Ghani merupakan penjaga gol skuad B-19 negara dan Amin Nazari pula akan mengisi slot pemain import Asia dan beraksi di posisi tengah. Pemain tersebut dilabelkan oleh pengendali, Aidil Sharin Sahak sebagai jeneral padang.
Ia adalah musim yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Kedah kerana mereka bakal bersaing di pusingan kelayakan ACL 2020 buat pertama kali dalam sejarah pasukan dan semangat mereka dilihat kian berkobar-kobar semenjak November lalu lagi.
Pemain Import Dari Filipina & Muhammad Azri Lengkapkan Skuad Kedah FA Musim 2020 – https://t.co/2n0GDgDZ7J pic.twitter.com/5QhyufVLOU
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 14, 2019
Sedikit sahaja perubahan dengan Aidil Sharin dilihat mengukuhkan beberapa posisi pasukan yang bergelut pada musim lalu. Di jentera serangan, ketajaman dan juga kombinasi Kpah Sherman serta Kipre Tchetche akan ditagih oleh Kedah terutamanya di ACL nanti.
Di benteng, tiada perubahan ketara dengan kemasukkan pemain baharu antaranya Irfan Zakaria dan Zulkhairi Zulkeply sebagai ‘lapisan kedua’ pasukan, yang musim lalu dilihat tempang.
Prestasi The Green Warriors
‘Kisah dongeng’ menjuarai Hong Kong Premier League 2019 akan berakhir, menurut laporan South China Morning Post. Pengendali pasukan musim lalu, Lee Chi-kin juga telah meninggalkan pasukan menyertai Eastern SC bersama sejumlah pemain mengikutinya.
Lee Chi-kin telah membimbing The Green Warriors selama tiga musim, tidak menyambung kontraknya selepas gagal mendapat kata putus mengenai perancangannya untuk musim baharu.
Selain itu, mereka juga kehilangan penyerang yang dinobat pemain terbaik Hong Kong Premier League 2019, Igor Sartori yang telah menyertai R&F, yang kini merupakan pendahulu liga musim ini.
Sehingga tujuh perlawanan liga yang telah berlangsung setakat ini, Tai Po FC hanya merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan serta berada di kedudukan ke-6 liga, hampir sama dengan kedudukan di permulaan mereka pada musim lalu.
Mereka ketika ini dibimbing oleh Fung Hoi-man yang mengendali Hoi King SA pada musim lalu. Kelab tersebut tersingkir ke Divisyen 1 untuk musim baharu. Adakah beliau mampu membawa cabaran Tai Po FC sebagai juara liga dan juga beraksi di kelayakan ACL?
Krisis kewangan dan kehilangan pemain
Tai Po FC menjuarai liga dengan bajet HK$18 juta, namun untuk musim 2020, bajet di tangan hanya ada HK$1.5 juta – merupakan sumbangan kerajaan buat kelab-kelab daerah. Untuk menambah bajet kelab, pengurusan kelab perlu mencari sendiri penaja lain.
Selepas kehilangan penaja utama, kelab yang berpusat di daerah Tai Po itu bergelut untuk mengimbangi kewangan mereka, namun dibantu dengan kehilangan sebahagian besar pemain musim lalu, mereka meletakkan pemain muda, yang mungkin gaji lebih rendah.
Menurut setiausaha kelab, Chan Ping, ia akan menjadi musim yang sukar buat mereka. Terbukti, ketika ini, menuju ke akhir pusingan pertama liga, mereka bergelut dengan berada di kedudukan ke-6, merekodkan 16 bolos, kedua tertinggi dalam saingan liga.
Kedah perlu memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri dan mengambil peluang atas kekurangan pasukan lawan ketika ini. Kedah hanya mengukuhkan pasukan, sementara Tai Po FC pula dilihat membuat perubahan ketara berbanding musim lalu.
Tiada sebarang info mengenai formasi yang digunakan Tai Po FC musim ini dengan hanya video ketika mereka beraksi di Piala AFC 2019 yang mungkin dapat digunakan sebagai rujukan. Sedikit info, pemain berbahaya mereka adalah penyerang naturalisasi, Sandro, yang mampu meledak gol dengan baik, dari pelbagai sudut.
Walaubagaimanapun, The Green Warriors ketika itu dibawah tunjuk ajar pengendali lama. Oleh itu, Helang Merah dan juga Aidil Sharin Sahak ketika ini perlu fokus kepada kekuatan sendiri bagi melepasi ranjau yang bakal dihadapi pada 21 Januari depan. Harus diingat, Perak perit sebelum melepasi cabaran Kitchee FC pada musim lalu.
Kredit Foto: Tai Po FC