Quantcast

BERITA

Musim Baharu Saingan La Liga Lebih Menjanjikan Kehangatan

Tirai saingan La Liga sudah dibuka minggu lalu dengan menyaksikan juara bertahan, Barcelona tewas mengejut ditangan Athletic Bilbao dengan keputusan 0-1 di San Mames. The Blaugrana kemudiannya kembali bangkit awal pagi tadi selepas menundukkan Real Betis 5-1.

Selepas kesemua 20 pasukan bertanding mengharungi dua perlawanan, hanya Sevilla dan Atletico Madrid mencatatkan rekod bersih (2 kemenangan).

Bagaimanapun itu hanyalah permulaan kerana seperti diketahui saingan La Liga pastinya akan menjanjikan sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Menarik untuk disaksikan adalah kehadiran pemain-pemain berkualiti tinggi seperti Eden Hazard, Joao Felix, Nabil Fekir dan Frenkie De Jong yang bakal mewarnai kancah La Liga.

Giorgio Pompili Rossi bersama wakil PUMA Malaysia ketika memperkenalkan bola rasmi yang digunakan dalam saingan La Liga 2019/20. Kredit foto: MFL

Bagi musim 2019/20, tiga pasukan yang dinaikkan pangkat ke La Liga adalah CA Osasuna, Granada CF dan RCD Mallorca.

Osasuna dan Granada kembali ke saingan utama selepas dua musim beraksi di Liga Segunda. Kedua-dua pasukan ini turun ke Liga Segunda selepas menamatkan saingan La Liga 2016/17 di tangga ke-19 dan 20.

Manakala Mallorca yang pernah jatuh hingga ke divisyen tiga Sepanyol kembali selepas enam musim merindukan saingan La Liga.

Sementara itu andai berbicara mengenai La Liga, pastinya dan menjadi kewajipan pertembungan El-Clasico bakal menjadi buah mulut para peminat bola sepak dunia. Untuk musim ini, Barcelona dan Real Madrid dijangka bertemu pada 27 Oktober di Nou Camp dan aksi pusingan kedua berlangsung 1 Mac 2020.

Bank yang berpangkalan di Madrid, Santander kini kembali sebagai penaja utama dan La Liga turut menjalinkan kerjasama dengan penaja global seperti PUMA, Livescore, Budweiser, EA Sports, Rexona dan Clear Men bagi menghadapi musim ini.

Kredit featured image: FC Barcelona