Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Musim 2020 Atau 2021? Masa Depan Pemain Dan Pengurusan PKNS FC Jadi Taruhan

Dengan perkhabaran PKNS FC sudah bersetuju untuk menjadi feeder club kepada Selangor, terdapat persoalan mengenai status masa depan pemain-pemain mereka untuk musim hadapan. Selain itu, bilakah secara merit Semut Merah akan menjadi feeder club?

Ketidaktentuan ini mungkin bakal berakhir, namun nasib para pemain dan staf kejurulatihan di PKNS FC perlu difikirkan serta diberikan penyelesaian, agar segalanya dapat diselesaikan dengan lebih teratur dan lancar menjelang penggabungan tersebut.

PKNS FC memiliki pemain yang sebenarnya boleh dikatakan antara yang terbaik di Liga Malaysia dan jika mereka diturunkan pangkat menjadi feeder club dan bersaing di Liga Premier, mungkin akan ada yang bakal dan harus mengangkat kaki meninggalkan kelab.

Nasib Kpah Sherman, Romel Morales

Pemain-pemain yang menjadi tanda tanya mengenai masa depan mereka antaranya Nicholas Swirad, Romel Morales, Jafri Chew, Akram Mahinan dan pemenang kasut emas, Kpah Sherman.

Pemain berusia 22 tahun yang menyatakan minat menyarung jersi skuad kebangsaan, Romel Morales antaranya, sejak awal membuka tawaran kepada mana-mana pasukan yang mahukan khidmatnya.

Adakah Romel Morales masih berminat untuk kekal bersama PKNS FC atas faktor usianya yang masih muda dan masih relevan beraksi di PKNS FC ataupun pemain kelahiran Colombia ini akan diserap ke skuad Selangor atas aksi baiknya ketika Piala Sultan Selangor?

Nicholas Swirad juga adalah salah satu prospek pertahanan skuad kebangsaan tetapi belum berpeluang untuk disenaraikan akibat masalah kecederaan tempohari. Adakah kelebihannya beraksi di beberapa posisi, CV yang berharga buatnya untuk diserap masuk?

Bagaimana pula dengan nasib pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman. Selepas menolak untuk bersama Terengganu FC, pemain tersebut mengakui sedang diintai oleh pasukan lain dan mungkin sudah hampir pasti bakal berhijrah musim depan.

Pemain yang menjadi tonggak utama skuad Kejohanan AFF 2018 yang lalu, Akram Mahinan juga dilihat bakal tergantung tanpa pasukan jika PKNS FC secara rasmi menjadi feeder club.

Selain mereka, terdapat lagi sejumlah pemain yang masih sabar menanti keputusan rasmi mengenai perkara ini. Adakah mereka akan terus bersama feeder club atau perlu meninggalkan pasukan?

Bagaimana status ‘feeder club’ PKNS FC

Terdapat satu klausa di dalam Garis Paduan Reserve Team yang tersebar baru-baru ini menyatakan syarat-syarat untuk sesebuah pasukan menjadi reserve team, iaitu perlu membuat permohonan secara bertulis setahun sebelum permulaan musim baharu.

Ini bermakna, Selangor dan PKNS FC perlu membuat permohonan tersebut pada penghujung musim 2018 untuk menjadikan perkara tersebut realiti bagi permulaan musim 2020.

Dengan persetujuan baharu dibuat oleh PKNS FC dan perbincangan serius di peringkat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula hanya bermula sekitar September lalu, perkara tersebut hanya akan direalisasikan bermula pada musim 2021 – jika berpandukan garis panduan tersebut.

Begitupun, terdapat klausa budi bicara (perkara 2.2) adalah di tangan badan induk tersebut untuk sebarang keputusan mengenai perkara ini.

Oleh itu, buat masa ini semua pihak hanya perlu menanti kata putus oleh pihak MFL dan dijangkakan dengan klausa keputusan berada di tangan MFL, PKNS FC akan menjadi pasukan simpanan kepada Selangor, paling cepat, bermula pada musim hadapan.

PKNS FC lulus perlesenan FAM

Namun, seperkara yang menarik perhatian juga, PKNS FC baharu sahaja diluluskan perlesenan kebangsaan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan layak beraksi di Liga Super 2020.

Ini menunjukkan PKNS FC masih serius untuk bertanding di Liga Super namun, jika berita persetujuan untuk menjadi feeder club kepada Selangor itu juga adalah benar, tiada faedah Semut Merah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman Facebook rasmi mereka, “PKNS FC secara merit telah layak bermain di Liga Super 2020.”

PKNS FC LULUS PELESENAN KELAB KEBANGSAAN DAN LAYAK BERMAIN LIGA SUPER 2020
—–
Menerusi siaran media yang dikeluarkan…

Posted by PKNS FC on Monday, November 4, 2019

Jika PKNS FC perlu menanti setahun lagi sebelum menjadi feeder club kepada Selangor, mereka akan melalui satu lagi musim di Liga Super sebelum diturunkan pangkat ke Liga Premier pada 2021. Mungkinkah ia akan menjadi musim paling menyedihkan buat mereka? Beraksi sekadar menanti sebelum diturunkan pangkat.

Bagaimana perancangan pengurusan pasukan? Adakah akan ada staf kejurulatihan akan berminat untuk kekal ataupun menyertai secara singkat? Adakah pemain-pemain sanggup untuk bersama-sama pasukan yang hanya menanti saat pengakhirannya?

Penutup

Diharapkan pihak MFL akan menyelesaikan perkara ini dengan segera dan penuh hikmah. Liga Malaysia akan membuka tirai pada Februari 2020 dan hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk semua pasukan kembali fokus membuat persediaan pasukan. Kebajikan staf kejurulatihan dan para pemain harus menjadi agenda utama.

Banyak perkara dan pihak akan terkesan menjadikan ia sedikit rumit untuk diselesaikan. Penggabungan kedua-dua pasukan ini ada pro dan kontra yang tidak lagi perlu diperdebatkan kerana masing-masing miliki perkara yang mereka mahu pertahankan.

Jika benar PKNS FC secara sah akan diturunkan pangkat menjadi feeder club, diharapkan segalanya akan berlangsung lancar dan semoga bola sepak di negeri Selangor akan memperolehi lebih manfaat dan lebih maju berbanding yang dikecapi ketika ini.

Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.