Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini berkata persatuan tersebut akur dengan pemotongan 3 mata oleh Malaysian Football League selepas gagal menjelaskan tunggakan gaji 2019 bernilai RM1.4 juta.
Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim ketika menjelaskan situasi tersebut menjelaskan kegagalan membayar tunggakan tersebut adalah kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh persatuan tersebut pada masa ini.
Farhan turut menjelaskan wang tajaan 2019 yang diperolehi sebelum ini telah habis digunakan untuk membayar hutang sebelum ini, manakala tajaan untuk tahun ini belum lagi diterima setakat ini.
Beliau juga menafikan kegagalan MUSA menjelaskan tunggakan tersebut adalah disebabkan oleh keadaan politik semasa dan juga penluaran wabak COVID-19 yang menyebabkan saingan Liga Malaysia tertangguh.
Bagaimanapun Farhan yakin pucuk pimpinan MUSA yang baharu diterajui oleh Ketua Menteri Melaka, mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut sekaligus mengelakkan Melaka United dipotong sehingga 6 mata menjelang tarikh 30 April akan datang.
Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 telah berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.
Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan Melaka seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu ia perlu dijelaskan pada penghujung Februari 2020.
Oleh itu, Melaka telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini.