Sekembalinya Zinedine Zidane ke Real Madrid tetap mendapat sokongan positif dari Jose Mourinho, yang turut tersenarai sebagai calon pengurus baharu pasukan itu sebelum ini.
Menurut Mourinho, beliau percaya Zidane adalah calon paling sesuai untuk memimpin Real Madrid yang merupakan juara Liga Juara-Juara Eropah sebanyak 12 kali itu.
Seperti diketahui, Zidane kembali semula diangkat sebagai pengurus selepas 10 bulan mengangkat kaki meninggalkan Real Madrid. Beliau dilantik menjadi pengurus dengan menggantikan Santiago Solari yang dipecat minggu lalu.
Zidane paling sesuai
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang yang mengaitkan Mourinho adalah calon nombor satu bagi menggantikan Santiago Solari.
Ianya turut dikuatkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan Mourinho dengan mengatakan bahawa dirinya tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk kembali membimbing Real Madrid.
Namun, segalanya telah berakhir apabila Real Madrid secara rasminya mengumumkan bahawa Zidane dilantik sebagai pengurus dan menandatangani kontrak sehingga Jun 2022.
Bagi Mourinho, keputusan yang dibuat Real Madrid itu tidak mengecewakannya. Sebaliknya, beliau akui Zidane yang kini berusia 46 tahun itu adalah individu paling sesuai untuk memimpin Real Madrid pada ketika ini.
“Sekarang dia [Zidane] memulakan langkah baru dalam kerjayanya, dia perlu membina pasukan, membuat pilihan, membeli pemain, menjualnya. Dia mesti melatih mereka, memberi mereka falsafah bermain.”
“Saya fikir dia mungkin calon terbaik terbaik untuk kelab ini, ” kata Mourinho.
Rindu
Pengendali dari Portugal itu bagaimanapun masih lagi menunggu tawaran yang paling sesuai untuknya kembali.
Mourinho menganggur selepas dipecat Manchester United pada Disember lalu.
Pengurus berusia 54 tahun itu, jelas sekali menunjukkan rasa rindunya untuk kembali turun ke padang melatih sesebuah pasukan.
“Hari demi hari, saya terlepas latihan. Saya tidak akan menutupinya.”
“Ada sesuatu di kepala saya, memenangi gelaran liga kelima dan memenangi gelaran Liga Juara-Juara terkini dengan kelab ketiga,” kata Mourinho.