“Mungkin Mereka Akan Berhenti Merokok” – Respon Positif Tetapi Sinis Robertson Selepas Dibaling Pemetik Api Oleh Penyokong Benfica

Bek kanan Liverpool, Andy Robertson hanya mahu berfikir positif apabila beliau menjadi mangsa balingan objek dalam perlawanan menentang Benfica di suku akhir UEFA Champions League pada awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1 kepada Liverpool itu, Robertson menjadi mangsa balingan pemetik api oleh penyokong tuan rumah.

Liverpool sebenarnya beraksi agak goyah pada babak kedua perlawanan, tetapi ia sudah cukup untuk The Reds merekodkan kemenangan mudah di Estadio da Luz, Lisbon untuk meletakkan sebelah kaki di separuh akhir.

Namun situasinya mungkin berbeza kerana Robertson berkemungkinan mengalami kecederaan ketika mengambil sepakan sudut untuk pasukannya berhampiran tempat duduk penonton.

Ditanya mengenai insiden tersebut oleh wartawan BT Sport, Robertson hanya mahu memberikan pendapat yang positif tetapi bernada sinis.

“Bukannya sambutan yang baik di sini [berhadapan penyokong Benfica]?”

“Ada sejumlah pemetik api dibaling ke arah saya. Mungkin ia akan membantu mereka berhenti merokok. Saya hanya mahu berfikir positif.

“Sudah lama kita melihat kejadian sebegini, di mana pemain menjadi mangsa lontaran objek. Nasib baik ia tidak mengena saya walaupun ia begitu hampir.

“Mereka sedang kecewa. Saya faham itu, tetapi anda tidak sepatutnya bertindak membaling objek ke arah padang kerana ia boleh mencederakan orang.

“Saya hanya mahu mengambil sepakan sudut dan pergi dari kawasan itu secepat mungkin. Mujur ia berlaku pada babak akhir perlawanan,” jelas beliau mengenai insiden tersebut.

Gol pertama Ibrahim Konate untuk Liverpool – hasil tandukan daripada sepakan sudut Robertson – memberikan Liverpool pendahulan awal.

The Reds menamatkan saingan babak kedua dengan jaringan 2-0 selepas satu lagi hantaran trademark daripada Trent Alexander-Arnolod menemui Luis Diaz, sebelum disempurnakan oleh Sadio Mane.

Liverpool mungkin boleh terus melebarkan kedudukan namun tampil agak longgar pada babak kedua sehingga kesilapan oleh Konate selepas itu membenarkan Darwin Nunez merapatkan jurang gol.

Benfica turut gagal memanfaatkan tempoh tersebut ketika Liverpool seolah-olah hilang rentak sebelum Diaz menyempurnakan hantaran Naby Keita dengan menggelecek penjaga gol sebelum menolak masuk untuk memastikan kelebihan dua gol dibawa ke Anfield.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp bertanggapan prestasi pasukannya jauh daripada sempurna namun cukup gembira dengan hasil akhir yang diraih, dan yakin pasukannya akan terus melangkah selepas ini.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Seperti saya jangkakan penyokong mereka akan bereaksi untuk membantu pasukan selepas berjaya menghasilkan gol,” komen Klopp.

“Kedudukan 2-0 belum membawa makna apa-apa. Ia bagus tetapi keadaan berubah apabila mereka [Benfica] berjaya menghasilkan satu gol.

“Ia perlawanan yang lebih terbuka berbanding apa yang kita mahukan. Jelas akhirnya kita harus menjaringkan satu lagi gol pada babak pertama perlawanan. Kita juga patut menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

“Penjaga gol adalah pemain terbaik mereka, dan berjaya menghasilkan beberapa aksi menyelamat yang baik.”

“Akhirnya kami menang. Dua gol pada babak pertama [memberi kelebihan], jadi saya harap pasukan akan terus melangkah selepas ini.

Perlawanan seterusnya juga penting buat Liverpool apabila berhadapan Manchester City yang bakal menentukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris – sebelum fokus The Reds kembali kepada Benfica di Anfield.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN