Bekas penyerang import Selangor iaitu Reziq Banihani secara rasminya kini tidak lagi bersama Selangor, selepas pasukan tersebut mengeluarkan kenyataan pada awal pagi tadi di media rasmi mereka.
Kenyataan dikeluarkan itu jelas memberi kejutan terutama buat penyokong The Red Giants, selepas ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebara khabar angin mengenai pemergian pemain tersebut.
Menerusi kenyataan dikeluarkan media Selangor, pemain muda Jordan itu meninggalkan kelab berkenaan dan bakal menyarung jersi pasukan baharu di negara asalnya tidak lama lagi.
“Penyerang muda Jordan Reziq Banihani secara rasminya meninggalkan kelab menerusi perpindahan kekal untuk bersama kelab lain di Jordan.
“Kami mengucapkan terima kasih atas servis diberikannya sepanjang bersama Red Giants dan mengucapkan yang terbaik untuk masa depan beliau,” ulas laman berkenaan.
Ketiadaan Reziq menyaksikan Selangor berkemungkinan bakal mendapatkan pengganti dalam masa segera, atau kekal dengan pemain sedia ada.
Untuk rekod semasa, Reziq dilaporkan telah menyertai Al Hussein SC di saingan utama Jordan bawah kendalian Tiago Moutinho yang mempunyai reputasi cukup hebat.
Kelab tersebut juga turut memiliki bekas penyerang Kedah Darul Aman (Kedah) pada musim 2022 iaitu Mahmoud Al-Mardi dan bakal beraksi di pentas AFC Champions League Two (ACL 2).
Persoalannya kini, mengapa Reziq meninggalkan Selangor secara mengejut tatkala pasukan itu juga bakal mengharungi saingan ACL 2 pada musim ini?
Menerusi pendapat kami di Semuanya BOLA, pemain muda tersebut meninggalkan kelab itu musim ini kerana ingin mendapatkan lebih banyak minit permainan serta diberi lebih peluang dalam kesebelasan utama.
Sebelum itu, posisi penyerang utams jelas lebih banyak diberikan kepada tonggak dari Chile iaitu Ronnie Fernandez bawah kendalian Nidzam Jamil.
Malah, Reziq juga lebih banyak berperanan sebagai pemain sayap dan gagal mempamerkan keupayaan penuh selaku mesin gol buat Selangor dalam beberapa perlawanan diharungi.
Apatah lagi Selangor turut menandatangani khidmat Ali Olwan yang lebih memiliki pengalaman dan sudah tentu khidmat Reziq bakal terus tersisih atau diberi peranan baharu selaku pemain sayap berbanding penyerang utama.
Apapun, ini hanyalah pendapat kami mengenai pemergian Reziq yang secara mengejut untuk meninggalkan Selangor pada pertengahan musim 2024/2025 dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Apapun, terima kasih diucapkan buat Reziq yang sudi mewarnai pentas Liga M bersama rekod 10 perlawanan, dua gol, serta satu bantuan jaringan yang akan diingati oleh para penyokong.