Dalam satu video sesi latihan skuad kebangsaan yang dimuat naik laman HarimauMalaya semalam, kelihatan seperti Junior Eldstal sedang dibelenggu kecederaan dan adakah akan berlaku perubahan pemain di benteng pertahanan?
Dalam video tersebut kelihatan para pemain sedang turun dari bas yang membawa mereka ke padang latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. Dan pemain warisan skuad kebangsaan itu tampak sedikit sukar untuk turun dari bas.
Beliau kelihatan turun dengan perlahan dan berhati-hati sambil kaki sebelah kirinya dipenuhi Kinesio Tape. Adakah kecederaan kembali menghantuinya?
Sebelum ini beliau mengalami kecederaan ketika saingan Piala AFF 2020 yang memaksanya berehat. Beliau tidak dipanggil dalam panggilan skuad kebangsaan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, semakan gambar sesi latihan juga mendapati beliau kurang terlibat sesi latihan padang. Ini menambah persoalan mengenai status keberadaan Eldstal untuk aksi berdepan Hong Kong dan seterusnya.
Begitupun, tiada masalah besar kerana pengendali, Kim Pan-gon memiliki pilihan lebih baik untuk diturunkan sebagai pertahanan tengah. Antara pemain yang boleh diharapkan adalah Khuzaimi Piee, Shahrul Saad, Dominic Tan, Shahrul Nizam selain bek kanan yang mampu bermain bek tengah seperti Dion Cools dan Matt Davies.
Sama ada Kim memilih formasi 3-4-3 atau 4-3-3 sebelum ini, tiada sebarang masalah buat skuad negara.
Berdepan Hong Kong tentunya ujian yang lebih sukar dan memilih untuk merehatkan pemain yang sedang dalam proses pemulihan adalah yang terbaik.
Ini kerana tiada sebarang desakan untuk menurunkan Eldstal jika beliau cedera. Bahagian benteng masih memiliki barisan pemain yang lebih baik dan boleh diharapkan.
Mungkin Kim boleh meletakkan gandingan Shahrul, Khuzaimi dan Cools atau Davies jika formasi tiga pertahanan tengah digunakan. Ini pilihan terbaik berdasarkan prestasi semasa mereka pada ketika ini.
Begitupun, perubahan di benteng memang dijangka berlaku waima Eldstal tidak mengalami kecederaan.
Ini kerana, keadaan Eldstal memungkinkan beliau tidak akan beraksi dalam perlawanan yang lebih sukar.
Beliau tidak cergas seperti penampilan pertamanya menyarung jersi kebangsaan bersama skuad B-23.
Malah untuk kembali bersama skuad kebangsaan kali ini, pertahanan tengah kelab Thai League 1, Chonburi FC itu telah menjelaskan yang beliau telah meminta bantuan jurulatih dari Australia pada bulan lalu dalam usahanya untuk memastikan dirinya kembali sembuh serta mencapai tahap kecergasan untuk tugasan skuad kebangsaan.