Mulianya Hatimu Safawi

Kontroversi yang melanda penyerang sensasi negara, Muhammad Safawi Rasid tidak menghalang untuk dirinya berbakti kepada negara dengan menyumbangkan sejumlah 1,000 botol cecair pembasmi kuman (sanitizer) kepada beberapa agensi bagi membantu usaha menangani pandemik wabak coronavirus (COVID-19) yang semakin serius.

Dalam satu hantaran dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers, penyerang Johor Darul Ta’zim itu menyerahkan sumbangan tersebut kepada Hospital Pakar KPJ Johor, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (APM) yang bertugas di barisan hadapan dalam memerangi wabak tersebut.

Kemurahan hati Safawi Rasid bukanlah sesuatu yang asing kerana pemain itu sebelum ini juga pernah membuat banyak amal kebajikan seperti memberi sumbangan kepada pusat pengajian al-Quran dan berhasrat untuk membina rumah kebajikan untuk warga tua.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu bersama semua pemain, pegawai dan kakitangan JDT juga telah bersetuju untuk membuat  pemotongan gaji sebanyak 33% untuk mengurangkan bebanan kelab dalam tempoh sukar ini.

Malah semua pemain tersebut juga telah mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu golongan yang terkesan dengan krisis penularan wabak COVID-19

Keputusan tersebut telah mendapat pujian beberapa pihak termasuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan meminta semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang lain agar mencontohi kerjasama yang baik di antara kelab, pemain dan pegawai pasukan berkenaan bagi menangani situasi semasa.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Safawi Rasid dan JDT:

Leave a Reply