Muhammad Adib Raop: Prospek Berkualiti Bola Sepak Perak

Muhammad Adib Raop

Kehadiran Perak II dalam saingan Liga Premier Malaysia 2020 dilihat menyediakan medan cukup luas buat pemain muda, Muhammad Adib Abdul Raop untuk menyerlahkan lagi bakat besar yang dimilikinya.

Mungkin ramai yang kurang mengenali sosok tubuh pemain yang hanya membuat penampilan di peringkat senior pada musim ini, tetapi beliau pantas mencuri tumpuan susulan jaringan cantik dihasilkannya ketika bertemu Selangor 2 tempoh hari.

Anak kelahiran Bagan Datuk yang mampu beraksi di bahagian pertahanan dan sayap kiri itu pada ketika ini menjadi antara pemain tonggak buat ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim selepas mengharungi empat perlawanan liga.

Dengan usia yang hanya akan menjangkau 21 tahun pada Oktober ini, Adib masih lagi layak untuk beraksi bersama pasukan Piala Presiden Perak di bawah kendalian K. Nanthakumar.

Piala Belia Perak rintis perjalanan karier

Kurang menyinar di peringkat sekolah tidak mematahkan semangat Adib untuk terus berusaha dalam mencapai impian sejak kecil iaitu menjadi pemain bola sepak profesional.

Penghujung tahun 2016 menjadi kisah yang merintis perjalanan karier Adib selepas beliau telah terpilih untuk menyertai skuad Piala Belia Perak bagi menghadapi musim 2017. Kelibatnya berjaya memikat hati pengendali pasukan pada ketika itu,Mohd Shahril Nizam Khalil.

Permulaan bersama skuad belia tidaklah seperti diharapkan apabila Adib lebih banyak memanaskan bangku simpanan, namun itulah proses pembelajaran terbaik diterimanya. Berkat kesabaran pada pusingan kedua, beliau sudah mula mendapat tempat di kesebelasan utama.

Prestasi baiknya turut mendapat perhatian bekas ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak yang memanggilnya untuk menyertai sesi latihan skuad negara.

Hanya setahun bersama pasukan tersebut, Adib diserapkan ke skuad Piala Presiden yang ketika itu dibimbing Syamsul Saad. Syamsul yang kini merupakan Pengarah Teknikal PAFA telah mencuba meletakkannya sebagai pemain sayap kiri.

Muhammad Adib ketika beraksi bersama skuad Piala Presiden Perak 2019.

Melihat beliau mampu untuk beraksi dengan baik di posisi tersebut menyaksikan pengendali pasukan SUKMA Perak, Chan Wing Hoong memberikan tanggungjawab buat Adib bagi mengisi posisi itu dalam temasya dwitahunan itu.

Adib jelas menjadi senjata utama buat Perak yang sekaligus muncul juara buat kali ketiga berturut-turut setelah menundukkan Kedah pada perlawanan akhir di Stadium Perak.

Musim keduanya bersama pasukan Piala Presiden juga tampak meyakinkan apabila Adib sentiasa menjadi pilihan K. Nanthakumar.

Skuad Perak menikmati kempen 2019 yang begitu meyakinkan apabila tidak mengalami sebarang kekalahan di peringkat kumpulan serta melayakkan diri ke final.

Namun, perjalanan hebat itu terhenti berikutan kekalahan 1-2 menerusi aggregat kepada Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di perlawanan akhir.

Muhammad Adib di mata ‘Coach’ Shahril Nizam

Wakil Semuanya BOLA turut berkesempatan menghubungi insan yang bertanggungjawab dalam mengesan bakat Muhammad Adib sehingga membawanya beraksi di skuad Piala Belia Perak, ‘Coach Shahril Nizam untuk berkongsikan pendapat beliau tentang anak didiknya itu.

”Sebenarnya saya sudah mula tertarik melihat aksi Adib ketika dia beraksi pada satu perlawanan akhir di Stadium Perak. Sewaktu itu dia masuk pada separuh masa kedua.”

Muhammad Adib merupakan antara pemain yang lincah.

”Dia dan Farid Khazali (pemain Liga Super Perak) memang mempunyai potensi yang baik dari segi teknikal dan boleh menggelecek. Mereka berdua juga adalah pemain yang berhati besar.”

”Adib mempunyai ciri-ciri seorang pemain pertahanan kiri moden. Pemahamannya terhadap taktikal juga sangat bagus dari segi bertahan dan menyerang.”

”Lagi satu ‘combination play’ bersama rakan sepasukannya juga amat baik,” ujar Shahril Nizam yang kini bertindak selaku pembantu Mehmed Durakovic.

2020 bawa misi penting

Sekiranya segalanya berjalan dengan lancar, 2020 bakal menjadi musim yang ‘sibuk’ buat Muhammad Adib Abdul Raop. Beliau mengimpikan untuk membantu Perak II kekal dalam kancah Liga Premier 2021.

Dalam pada itu, beliau juga mahu meraih gelaran juara Piala Presiden selepas hampa pada musim lalu dan ingin mengekalkan mahkota juara SUKMA yang dimenangi pada tahun 2018.

Rumusan

Meskipun masih terlalu awal untuk menilai prestasi bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Musa Muda Musa, Teluk Intan ini dalam kancah bola sepak tanah air, tetapi dengan usaha tanpa lelah serta bijak menggunakan kesempatan yang diterima, Adib mampu untuk menjadi permata bola sepak negara satu hari nanti.

Kredit foto: Perak TBG

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN