Muangthong United Tekad Musnahkan Impian JDT Beraksi Di ACL 2018

Pertembungan di antara juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang naib juara Liga Thailand 2017, Muangthong United dalam saingan kelayakan kedua AFC Champions League (ACL) malam ini bakal menjadi tumpuan oleh peminat bola sepak Asia Tenggara.

Ia juga dianggap sebagai pertemuan buku dengan ruas kerana dua pasukan ini merupakan pasukan terbaik di negara masing-masing.

Kedua-dua pasukan ini juga pernah bertemu pada tahun 2016 dimana perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sehingga diheretkan ke masa tambahan. JDT tewas 0-3 kepada Muangthong melalui penentuan sepakan penalti.

Salah seorang pemain Muangthong United, Charyl Chappuis menyifatkan pasukan JDT mempunyai ramai pemain berkualiti dan dia mempunyai pengalaman bertemu dengan pemain yang sama.

“Kami pernah menentang pemain ini ketika mewakili pasukan Thailand. Kebanyakan pemain JDT ini merupakan pemain skuad kebangsaan Malaysia.

“Mereka sangat kuat dan JDT merupakan pasukan yang bagus. Kami akan cuba cari jalan untuk mengalahkan mereka.

“Kami mesti bermain mengikut perancangan jurulatih dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah. Sudah tentu kami mahu jaringkan gol untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Charyl Chappuis mengulas mengenai pertemuan menentang JDT ketika sidang media rasmi. FOTO: Muangthong United

Chappuis yang pernah beraksi untuk pasukan Buriram United dan Suphanburi menjadi popular dalam kalangan peminat di Malaysia apabila menjaringkan 2 gol ketika menentang skuad Harimau Malaya pada perlawanan akhir Piala AFF 2014.

Bekas pemain muda Switzerland ini hampir gantung but apabila mengalami kecederaan lutut yang memaksa beliau berehat selama 18 bulan selepas perlawanan akhir itu, tetapi beliau beransur sembuh dan kembali membarisi kesebelasan utama pasukan kebangsaan Thailand.

Sementara itu, pengendali JDT, Ulisses Morais mahu pemainnya sentiasa fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang memungkinkan pasukan lawan ambil kesempatan.

“Kami membuat persiapan begitu rapi untuk berdepan Muangthong United dan juga mengumpul maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan itu malah tidak dinafikan mereka memiliki kualiti disamping kelebihan pasukan itu beraksi di tempat sendiri.

“Ia bakal perlawanan sukar buat JDT tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku kerana saya lihat pemain JDT tampak begitu bersemangat sepanjang latihan terakhir sebelum ke Bangkok dan sikap positif itu jelas beri keyakinan kepada mereka bagi mengharungi perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL.

Ulisses Morais meramalkan Muangthong akan bermain dengan corak permainan pantas. FOTO: Muangthong United

“Persediaan kami untuk perlawanan itu berjalan lancar tanpa sebarang pemain mengalami kecederaan manakala penjaga gol, Haziq Nadzli juga sudah bersama kami selepas mengambil penerbangan dari China ke Bangkok, semalam,” katanya.

JDT kali ini tidak membawa pemain kacukan Malaysia-Barbados, LeVere Corbing-Ong bersama skuad itu selepas tidak dapat didaftarkan akibat masalah teknikal namun sudah ada pengganti yang mampu menggalas tugas di posisi bek kiri.

“Kami juga tidak membawa beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Nor Adam Azlin selepas mereka baru sahaja beraksi pada saingan kejohanan Asia Bawah 23 tahun (B-23).

“Muangthong United FC tidak memenangi kejuaraan liga musim lalu tetapi kami menang Liga Super dan ia akan beri motivasi kepada pemain supaya turun dengan lebih mantap dan berusaha mengawal perlawanan bagi mencari kemenangan,” kata Morais.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN