Pertembungan ‘East Coast Derby’ di antara pasukan Pahang menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi kedua Liga Super hari Sabtu ini pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Apatah lagi, skuad Tok Gajah kini berada dalam prestasi terbaik apabila menewaskan Kuala Lumpur, 3-1 minggu lalu sehingga memastikan mereka menghuni kedudukan teratas Liga Super musim ini.
Manakala Terengganu FC berjaya mengikat PKNS FC, 1-1 setelah mendapat rentak kembali untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 menentang skuad kendalian Datuk Rajagobal itu.
Penyerang Terengganu FC (TFC) yang dilahirkan di Kuantan, Malik Mat Ariff mahu mengetepikan seketika pertalian persaudaraannya dengan Pahang dan tekad mengejutkan skuad kendalian Dollah Salleh dihadapan ribuan penyokong tuan rumah.
Beliau yang menjadi penyelamat maruah skuad Penyu selepas menjaringkan gol penyamaan ke atas PKNS FC Jumaat lalu berazam mahu meledak gol lagi di Kuantan.
“Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang sentiasa bekerja keras, bagi saya pasukan kami mampu melakukan yang terbaik untuk mengutip mata pada aksi kedua nanti.
“Walaupun bertemu dengan pasukan negeri kelahiran, saya mahu melupakan seketika pertalian persaudaraan, sebaliknya bertekad mahu buru gol dalam misi mengutip tiga mata walaupun bermain di tempat lawan.” katanya dalam Berita Harian.
Malik yang digelar ‘lipas kudung’ pernah menerima anugerah Kasut Emas pada tahun 2017 selepas meledak 18 gol ketika menyarung jersi Kuantan FA.
Pada musim ini, beliau menyimpan impian untuk mengulangi semula kejayaan tersebut bersama pasukan Terengganu FC.
“Bonus kepada saya jika dapat mengulangi kejayaan tahun 2017. Walaupun muncul penjaring terbanyak kategori pemain tempatan, tapi impian lebih besar adalah untuk membantu pasukan mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan serta memburu trofi kejuaraan musim ini,” katanya.