MSL2018: Dua Gol Zubovich Lonjak Melaka United

Dua jaringan penyerang utama pasukan Melaka United, Yahor Zubovich sudah cukup untuk membuatkan pasukan PKNP pulang dengan tangan kosong dalam saingan unifi Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Kemenangan 2-0 ke atas pasukan PKNP FC itu meletakkan pasukan Melaka United di tangga ke-empat liga dengan mengumpul 9 mata dan dilihat berada dalam landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan Liga Super.

Separuh masa pertama

Melaka United memulakan separuh masa pertama dengan membuat sedikit rombakan dengan mempertaruhkan Ahmad Fakri Saarani di bahagian sayap kiri bagi membantu penyerang prolifiknya, Yahor Zubovich untuk mencipta jaringan.

Bagi skuad PKNP FC pula, sedikit perubahan dilakukan Abu Bakar Fadzim dengan menyaksikan pemain import dari Kemboja, Sokpheng Keo tidak diturunkan dan sekadar berada dibangku simpanan dan seorang lagi pemain pertahanan, Muhammad Raffi Nagoorgani turut direhatkan.

PKNP FC yang berjaya menundukkan Kuala Lumpur pada perlawanan ke-empat liga tempoh hari nyata bersemangat untuk mencipta momentum kemenangan.

Mereka jelas menguasai permainan seawal 10 minit pertama perlawanan dan membuatkan skuad kendalian Eduardo Almeida sedikit hilang arah.

Namun demikian, pada minit ke 13, skuad Hang Tuah mula mendapat rentak dan memiliki peluang untuk mendahului pasukan pelawat,namun Yahor Zubovich agak lambat memanfaatkan hantaran silang dari sebelah kiri pintu gol PKNP.

Berselang seminit kemudian, Yahor Zubovich kali ini agak pantas menyambut hantaran jauh G Puaneswaran dan tenang menolak masuk bola seterusnya menewaskan Tian Keat See buat kali pertama.

Pada minit ke 22, Zubovich hampir menambah gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, namun kali ini Tian Keat See nyata lebih bersedia mendakap kemas rembatan beliau dalam kotak penalti.

Gandingan serangan PKNP yang diketuai oleh Sharel Fikri dilihat sekali sekala mendatangkan masalah buat benteng pertahanan tuan rumah, namun asakan demi asakan itu gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Separuh masa kedua

Sebelum sepak mula separuh masa kedua, Abu Bakar Fadzim melakukan pertukaran taktikal dengan membuat dua pertukaran serentak dengan memasukkan Deevan Raj dan G Gunasegaran bagi memburu gol penyamaan.

Kemasukan 2 pemain ini sedikit menghidupkan jentera serangan PKNP dan menyaksikan Deevan Raj berjaya membuat larian deras dari bahagian sayap kanan, namun hantarannya pada minit ke 54 gagal disudahkan Shahrel Fikri.

Melaka United terus diasak jentera serangan PKNP dan pada minit ke 59, Shahrel Fikri sekali lagi meraih peluang terbaik untuk mencipta gol pertama, namun sepakannya dalam kotak penalti digagalkan Zamir Selamat sekaligus melegakan ribuan penyokong Melaka yang hadir ke stadium.

Menyedari akan ketumpulan barisan tengah tuan rumah, Almeida melakukan pertukaran dengan membawa masuk Mohd Fauzi Roslan dan S Chanthuru bagi menambah kesegaran di bahagian tengah dan sayap pasukan.

Namun demikian, pemain-pemain PKNP dilihat terus mempamerkan semangat juang bagi memburu gol penyamaan dengan menekan kubu pertahanan tuan rumah.

Walaubagaimapun, dengan tidak semena-mena, Melaka United menambah gol kedua perlawanan pada minit ke 86 menerusi Zubovich yang melepaskan sepakan padu di luar kotak penalti yang sebelum itu menerima hantaran kemas dari Thiago Gomes.

Gol kedua peribadinya itu jelas membunuh semangat lawan untuk bangkit sekaligus menyaksikan Melaka United berjaya melakar kemenangan ketiga dan memberi suntikan motivasi untuk bertemu Kuala Lumpur dalam saingan pusingan ketiga Piala FA pada 17 Mac.

Barisan pemain-pemain:

Melaka: Nicholas Swirad, R Surendran (k) (Mohd Fauzi Roslan),Woo Young Jeon, Tiago Gomes, Zamir Selamat (PG), Ahmad Fakri Saarani (S Chanthuru), Steven Thicot, Shahdan Sulaiman (S Sivanesan), Yahor Zubovich, Khair Jones, G Puaneswaran

PKNP FC: Tian Keat See (PG), Ritus Krjauklis, Muhammad Safar (G Gunasegaran), Franklin Anzite, Ridzuan Azly (Deevan Raj), Gisung Yeon (Sokpheng Keo), Luben Nikolov, Ezanie Mat Saleh, Shahrel Fikri (k), Mohamad Hafiz Ramdan, Fadhil Idris

Pengadil perlawanan: Suresh Jayaraman (Pengadil), Mohd Junaidy Abd Samad (Penolong pengadil 1), Visnukumar Darmaraj (Penolong pengadil 2).

Foto: Melaka United Soccer Association (MUSA)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN