MSL 2020: Mengapa Ragu Kedah Mampu Cabar Mahkota JDT?

Kipre-Tchetche-Kedah-Tai-Po-FC-Kelayakan-ACL-2020-1

Baru-baru ini kami di Semuanya BOLA diminta untuk memberikan senarai pasukan berdasarkan ramalan dan pilihan masing-masing yang akan mengakhiri saingan Liga Super Malaysia (MSL2020) sebagai empat pasukan teratas.

Seperti dijangka, JDT – juara MSL enam kali berturut-turut – adalah pilihan utama kebanyakan penulis untuk mengakhiri saingan sebagai juara untuk musim 2020.

Daripada kalangan tujuh penulis, hanya rakan penulis, Nur Hadi Mohamad berpendapat Selangor mampu melakukan kejutan ‘beating the odds’ untuk bergelar juara pada musim ini.

Bukan mahu menidakkan JDT. Dibandingkan dengan pasukan lain yang bertanding, pasukan dari selatan tanah air itu realitinya berada di tahap tersendiri dalam membina dominasi dan dinasti di kancah saingan bola sepak negara.

Kalau ikutkan hati, saya akan senaraika empat pasukan teratas itu adalah JDT untuk apa yang telah dicapai di dalam dan luar padang. Tetapi bola sepak bukan sedemikian.

Berdasarkan maklum balas yang kami terima, terdapat segelintir penyokong Kedah turut meragui dengan ramalan yang saya berikan.

Bukan juga kerana mahu menidakkan pendapat rakan penulis yang lain. Tetapi, apakah ertinya saingan bola sepak negara jika ia tidak lagi kompetitif?

Rakan penulis mungkin mempunyai sebab beliau tersendiri dalam memilih Selangor. Ini pula sebab saya memilih Kedah sebagai pilihan – anehnya ramalan ini diragui ramai oleh penyokong Kedah sendiri.

Falsafah bola sepak Aidil Sharin

Salah satu sebab mengapa saya yakin Kedah mampu melakukan kejutan pada musim ini adalah kerana adanya jurulatih seperti Aidil Sharin membimbing pasukan itu.

Bekas pengendali Home United yang meminati falsafah bola sepak Pep Guardiola menyukai permainan menyerang, inginkan kemenangan dalam setiap perlawanan dan juga menyukai pemain muda.

Itulah yang dilakukan oleh Aidil pada musim pertamanya. Antara pemain muda yang dicungkil bakat mereka dan dibangunkan oleh Aidil bersama Kedah pada musim lalu adalah seperti Mohamad Fayadh dan Fadzrul Danel.

Keyakinan Aidil kepada pemain muda sememangnya terbukti, dan anda pasti ingat bagaimana Fadzrul Danel tampil sebagai wira Lang Merah di perlawanan akhir Piala FA yang lalu.

Tiada keraguan lagi, pemain seperti Fayadh dan Fadzrul akan mengetuai generasi baharu skuad Kedah pada masa akan datang. Musim ini kita pasti mahu melihat kedua-dua pemain tampil lebih matang.

Tactical masterclass Aidil

Seperti idolanya Guardiola, Aidil juga boleh dianggap sebagai pemain yang inovatif dalam taktikal bola sepak.

Masihkah anda ingat bagaimana Kedah mengejutkan Perak di perlawanan akhir Piala FA yang lalu? Menjelang perlawanan tersebut, Kedah kehilangan khidmat dua pemain penting iaitu Renan Alves.

“Sudah tentu saya sedang mencongak pelan A dan pelan B dan kita akan lihat nanti siapa yang terbaik untuk diturunkan bagi menggalas tanggungjawab itu,” kata Aidil kepada Sukan Sinar  pada ketika itu.

Nyata Aidil tenang menghadapi situasi tersebut. Aidil Sharin memilih untuk menurunkan pemain tengah, Amirul Hisyam di posisi center-back, untuk menggantikan Renan Alves, buat perlawanan final Shopee Piala FA tempoh hari.

Keputusan tersebut membuahkan hasil kerana Amirul berjaya mengawal Ronaldo Henrique dan Careca, selain turut membina ‘partnership’ yang mantap bersama Shakir Hamzah.

Kebijaksanaan Aidil mengeksploitasi kelemahan Perak dalam perlawanan juga adalah satu lagi bukti kebijaksanaan jurulatih dari Singapura ini.

Dan anda harus ingat. Semua ini dilakukan Aidil hanya pada musim pertamanya.

Membentuk mentaliti pemain

Tidak ada pasukan lain di Malaysia yang mempunyai jumlah kejuaraan terhampir dengan JDT selain daripada Kedah.

Selain kejuaraan Piala FA pada musim 2019, Kedah turut merangkul kejuaraan yang sama pada 2017.

Setahun sebelum itu pula, Kedah adalah juara Piala Malaysia, dan juga finalis pertandingan tersebut pada 2015, 2017 dan 2019.

Kedah juga merupakan juara Piala Sumbangsih pada 2017, dan naib juara pada 2018. Kejuaraan-kejuaraaan ini hanya membuktikan Kedah adalah salah sebuah pasukan juara.

Baiklah, kita akui JDT berada di tahap berbeza dari segi mentaliti pemain memburu kejuaraan. Tetapi Aidil juga bukan jurulatih biasa-biasa. Apatah lagi dengan kelompok pemain yang sama sejak dari beberapa musim lalu.

Aidil turut mempunyai kebolehan untuk menanam sikap dan mentaliti pemenang di kalangan pemainya, demi memastikan pemain berjuang habis-habisan untuk pasukan dan dirinya sebagai jurulatih.

Ketika masih bersama Home United di Singapura, Aidil berjaya memujuk pengurusan kelab untuk membayar yuran persekolahan anak-anak pemain, dan memberikan biasiswa kepada pemain yang mahu melanjutkan pelajaran.

“Perkara begini mungkin nampak kecil, tetapi saya percaya ia amat penting,” kata Aidil.

“Apabila anda mendapat kepercayaan daripada pasukan dan pemain, maka saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik kerana mereka tahu anda memahami mereka, terutamanya pemain senior.

“[Pemain senior] pernah melalui pengalaman dengan ramai jurulatih [sebelum ini], dan mereka tahu apa yang baik dan tidak,” jelas Aidil lagi.

Import berkualiti

Kedah tidak membuang masa membentuk pasukan baharu selepas tamat saingan musim lalu. Antaranya ialah dengan membawa masuk dua penyerang prolifik Liga Malaysia, Tcheche Kipre dan Kpah Sherman.

Kedua-dua pemain tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat dan pengikut bola sepak tanah air.

Kipre menyerlah selama beberapa musim bersama Terengganu FC. Manakala Sherman adalah penjaring terbanyak Liga Super pada musim lalu.

Kipre-Tchetche-Kedah-Tai-Po-FC-Kelayakan-ACL-2020-1
FOTO: Kedah FA

Selain daripada dua pemain dari Afrika itu, Kedah turut mengikat khidmat ‘jeneral tengah’ dari Filipina, Amin Nazari.

Nazari adalah pemain yang turut mempunyai pengalaman beraksi di Eropah adalah pilihan Aidil Sharin dan diyakini mampu mengemudi jentera tengah skuad Kedah pada musim ini.

Beberapa pemain tempatan khususnya kehadiran bekas pemain sayap Felda United, Hadin Azman turut diyakini mampu menyelesaikan masalah di posisi sayap kiri sejak penghijrahan Syazwan Zainon ke Selangor. 

Rumusan

Ini adalah musim kedua Aidil Sharin bersama Kedah. Selepas apa yang Kedah capai pada musim lalu, harapan untuk melihat Kedah pergi jauh pada musim ini pasti ada.

Buat penyokong Kedah, usah ragu. Apa gunanya kita memberikan sokongan jika enggan optimis. Apa gunanya pertandingan jika enggan kompetitif.

Untuk berjaya dan bergelar sang juara, anda harus mencabar yang terbaik. Dan berdasarkan hujah di atas, saya yakin Kedah juga mampu mencabar JDT – sekurang-kurangnya memberikan saingan sengit untuk musim MSL 2020 akan datang.

Bukankah kita perlu optimis dalam setiap perkara yang kita lakukan? Berikan sokongan sewajarnya kepada pasukan anda, kerana inilah bola sepak. Saya yakin liga kita akan lebih meriah dan kompetitif jika ini berlaku.

Buat Coach Aidil dan Kedah, selamat maju jaya kami ucapkan!

Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN