Kedah perlu berterima kasih kepada Azri Ghani apabila ketangkasannya memastikan Kedah mengatasi Melaka United dengan keputusan 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam aksi ke-10 CIMB Liga Super 2020, sebentar tadi.
Kedah dilihat tiada masalah untuk menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran direct dan pantas membuatkan Melaka United sedikit bergelut. Posisi kanan kubu pelawat sering menjadi sasaran utama tuan rumah untuk memulakan asakan.
Tidak pasti mengapa posisi Wan Amirul Afiq amat mudah dirobek Kedah. Dua gerakan daripada kawasan tersebut hampir memberikan Kedah gol pendahuluan iaitu menerusi percubaan kapten, Baddrol Bakhtiar dan rembatan deras jarak dekat Kpah Sherman.
Shakir Hamzah berjaya memenangi perebutan di udara bersama tiga pemain skuad Hang Tuah seterusnya menanduk masuk sepakan penjuru yang telah diambil Kipre Tchetche pada minit ke-19. Itu juga merupakan jaringan pertamanya musim ini.
Norazlan Razali yang tampil buat kali pertama musim ini gagal menepis tandukkan bek kiri Kedah itu selepas beberapa kali berjaya menafikan peluang Kedah sebelum itu.
Tersentak dengan jaringan Helang Merah, Melaka United bangkit memperkemaskan gerakan pasukan dengan peluang terbaik hadir di minit ke-25 menerusi Uche Agba. Walaubagaimanapun, percubannya telah dinafikan oleh penjaga gol ke-3, Azri Ghani.
Kecederaan yang dialami oleh dua penjaga gawang mereka, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Shahril Sa’ari memberikan ruang buat pemain berusia 21 tahun itu mendapat peluang bermain dalam skuad utama pasukan tuan rumah pada perlawanan ini.
Minit ke-42, Azri Ghani tampil tangkas menyelamatkan gawang tuan rumah menerusi sepakan percuma Safiq Rahim, sebelum menangkap kemas tandukan susulan di depan gawangnya oleh Syamim Yahya. Dua minit kemudian, Melaka United dinafikan lagi oleh tindakan pantas penjaga gol muda itu memintas sepakan percuma pelawat.
Pelawat meneruskan penguasaan dari segi asakan ke kubu tuan rumah dan Uche Agba melepaskan peluang terbaik buat Melaka United di minit ke-50 untuk jaringan penyamaan apabila sentuhannya di depan gawang tuan rumah melewati palang gol.
Selepas jaringan pertama, Kedah seolah-olah hilang punca dan tampak lemah terutamanya di final third mereka membolehkan lawan lebih menguasai perlawanan. Kubu Melaka United lebih kukuh apabila berhasil meneutralkan asakan lawan.
Selepas sejam perlawanan berlangsung, Melaka United mula memperlahankan tempo mereka, mungkin cuba mencari nafas selepas beberapa kali asakan mereka gagal menewaskan Azri Ghani dan ini menampakkan Kedah mula kembali menguasai bola.
Minit ke-77, penjaga gawang Kedah itu terus menghampakan jentera serangan lawan apabila berjaya menafikan peluang terbuka Sony Norde di depan golnya. Pertukaran dua pemain membantu Melaka United untuk meningkatkan semula tempo mereka.
Namun, produk akhir jentera serangan mereka sedikit menghampakan ditambah dengan prestasi baik penampilan pertama Azri Ghani bersama skuad utama.
Prestasi di bawah tahap sebenar Baddrol Bakhtiar sememangnya menjejaskan Kedah. Dua kali kapten tuan rumah itu mensia-siakan peluang terhad mereka dengan percubaan tersasar dan juga peluang satu lawan satunya yang ditepis Norazlan Razali.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat membolehkan Kedah akhirnya meraih kemenangan ke-6 mereka musim ini di saingan liga, selain bangkit daripada kekalahan tipis yang dialami mereka kepada Pahang pada aksi minggu lalu.
Helang Merah berjaya memintas kedudukan kedua Perak dengan mengumpul 19 mata, satu mata di depan Perak. Sementara Melaka United pula terus mendiami kedudukan ke-9 Liga Super, berkongsi 11 mata bersama PJ City FC.
KREDIT FEATURED IMAGE: MELAKA UNITED