MSL 2020: JDT Sahkan Kejuaraan ‘Invincible’, Ledak 5 Gol Tumpaskan Melaka United

JDT Melaka United Liga Super 2020 kejuaraan invincible

Juara tujuh kali CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengatasi Melaka United dengan keputusan 5-0 dalam aksi terakhir yang berlangsung sebentar tadi dan mereka juga mengesahkan kejuaraan ‘invincible’ mereka pada musim ini.

Kali pertama dan terakhir skuad Harimau Selatan berjaya merekodkan kejuaraan tanpa kalah adalah pada musim 2016 apabila menang dalam 18 aksi dan mencatatkan empat keputusan seri dengan mengumpul 58 mata – 15 mata di depan FELDA United.

Walaupun turun dengan misi untuk merekodkan musim tanpa kalah buat kali kedua sepanjang tujuh kejuaraan, JDT telah membuat rombakan dengan kemasukkan Gary Steven Robbat, Nazmi Faiz Mansor dan Syafiq Ahmad dalam skuad utama.

Penampilan pertama Gary Steven Robbat dalam kesebelasan utama mengambil tempat Afiq Fazail tampak berjalan baik di babak pertama. Sebelum ini beliau tampil sebagai pemain gantian ketika mereka diikat PJ City FC pada hujung September lalu.

Melaka United pula dilihat hanya membuat satu perubahan kepada skuad yang tewas kepada Kedah minggu lalu dengan memasukkan Saiful Ridzuwan menggantikan kapten, Safiq Rahim. Jang Suk-won dilantik sebagai kapten pada malam ini.

Ia malam yang tampak masih sukar buat Melaka United yang dalam pemburuan kemenangan pertama selepas empat perlawanan dengan JDT dilihat menguasai perlawanan dan tidak langsung terkesan dengan rombakan pemain yang dibuat mereka.

Selepas beberapa kali cuba memecah benteng lawan, minit ke-15 barulah JDT berjaya membuat percubaan tepat pertama menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Gonzalo Cabrera, namun telah diselamatkan oleh penjaga gol, Norazlan Razali.

Empat minit kemudian, Gonzalo Cabrera sekali lagi terlepas peluang untuk meledak gol pembukaan selepas menerima through pass daripada Leandro Velazquez ke dalam kotak penalti apabila percubaannya berjaya dinafikan sekali lagi oleh Norazlan Razali.

Selepas setengah jam perlawanan berlangsung, Sony Norde tampil dengan percubaan pertama buat skuad Hang Tuah menerusi rembatan lemah daripada luar kotak penalti. Ia mudah buat penjaga gol skuad kebangsaan ketika ini, Farizal Marlias.

JDT hadir sekali lagi di penghujung babak pertama menerusi susulan daripada Gary Steven Robbat, namun percubaannya tersasar sedikit daripada gawang gol. Ia didapati selepas Norazlan Razali menolak keluar hantaran lintang Matthew Davies.

Norazlan Razali sekali lagi menafikan peluang boleh gol pelawat pada awal babak kedua menerusi tandukkan Gonzalo Cabrera. Pemain tengah itu seringkali dinafikan oleh ketangkasan bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu dari wisel pertama.

Akhirnya, JDT berjaya memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain tengah, Leandro Velazquez menewaskan Norazlan Razali yang beraksi sangat cemerlang pada malam ini.

Lima minit kemudian, Syafiq Ahmad menampilkan ketenangannya apabila meledak gol kedua JDT walaupun cuba dicabar oleh Annas Rahmat dan Norazlan Razali. Rembatan leretnya berjaya melepasi bawah kaki penjaga gol berpengalaman itu.

Pertahanan tengah, Aidil Zafuan menambah derita buat Melaka United apabila berjaya meledak gol menerusi tandukan bermula daripada sepakan penjuru pada minit ke-79. Ia juga merupakan jaringan pertamanya untuk saingan musim ini.

Minit ke-84, pemain daripada JDT II, Fernando Rodriguez tampil cemerlang menanduk hantaran lintang Matthew Davies daripada sebelah kiri gawang untuk menghasilkan gol ke-4 buat pelawat – gol pertamanya dalam debut bersama skuad utama.

Di penghujung perlawanan, hantaran Fernando Rodriguez kepada Gonzalo Cabrera telah dimanfaatkannya dengan jaringan ke-5 buat JDT. Ia tentu berjaya mengubat kekecewaan pemain tengah itu selepas beberapa percubaan dinafikan Norazlan Razali.

Tiada apa yang mampu dilakukan lagi oleh Zainal Abidin Hassan bagi membantu kebangkitan skuad kendaliannya apabila sudah ketinggalan dengan lima jaringan dan berdepan JDT. Mereka akhirnya tumpas tiga perlawanan berturut-turut.

Kemenangan selesa itu memberikan JDT kemenangan ke-9 mereka daripada 11 perlawanan dan mereka mengumpul 29 mata di puncak Liga Super. Ia bertambah manis apabila JDT turut mengesahkan kejuaraan ‘invincible’ mereka buat kali kedua.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN