Johor Darul Ta’zim (JDT) sah dimahkotakan kejuaraan ke-7 CIMB Liga Super 2020 selepas menundukkan Sabah 4-1 dalam aksi ke-10 liga, sebentar tadi.
JDT turun di halaman sendiri dengan kesebelasan terbaik mereka dengan hanya satu perubahan berbanding barisan pemain minggu lalu dengan kemasukkan Matthew Davies di bek kanan, memperlihatkan mereka serius memburu kemenangan.
Kurniawan Dwi Yulianto pula turun dengan taktikal lebih defensif dengan meletakkan lima pemain di benteng bagi membendung asakan-asakan lawan. Empat pemain tengah juga akan turun membantu apabila JDT mengasak ke kubu Sabah.
Dua aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini menghasilkan lambakan gol buat tuan rumah dengan Perak dibelasah 0-7 dan Selangor tumbang 1-6, dua minggu lalu. Ini yang membuatkan Sabah lebih berhati-hati dan tidak terlalu agresif.
Disebabkan itu, Harimau Selatan lebih menguasai rentak perlawanan dan juga asakan di babak pertama dengan beberapa percubaan antaranya rembatan lemah Safawi Rasid dan tandukkan tersasar oleh Natxo Insa dalam 12 minit awal.
Tuan rumah terus menguasai perlawanan dengan Farizal Marlias dilihat kurang diuji sepanjang babak pertama. Sabah hanya tiba di defensive third lawan bermula di minit ke-40. Kekurangan pilihan di final third skuad Tambadau jelas kelihatan.
Hanya Dennis Buschening dilihat berada di bahagian atas dan ini menyukarkan Sabah ketika cuba mengatur asakan pantas ke kubu JDT. Di minit ke-40, percubaan jarak jauh Syukri Baharun mudah untuk diselamatkan oleh Farizal Marlias.
Gawang JDT sekali lagi diuji apabila tandukkan pertahanan tengah, Park Tae-su terkena palang di penghujung babak pertama bermula daripada sepakan penjuru.
Kebangkitan Sabah itu berlaku selepas Diogo berjaya membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-38 apabila menyudahkan hantaran lintang rendah oleh Afiq Fazail selepas menerima through pass menarik daripada bek kiri, Corbin Ong.
Sabah terus meningkatkan rentak permainan dan asakan di babak kedua dengan perubahan formasi taktikal dapat dikesan selepas kemasukkan Rodoljub Paunovic. Alto Linus dan Paunovic hampir memberikan mereka jaringan pertama.
Kelalaian sebentar benteng pelawat di minit ke-57 membuka peluang untuk Safawi Rasid menambah jaringan menerusi rembatan jarak jauh menewaskan Rozaimie Rohim yang hanya mampu melihat percubaan itu menggegar gawang golnya.
Akhirnya Sabah berhasil menjaringkan gol pertama mereka menerusi Dennis Buschening di minit ke-74 selepas menerima bola di depan gawang JDT. Ia merupakan gol ke-4 beliau musim ini, selain meledak dalam tiga aksi berturut-turut.
Enam minit kemudian, penjaga gol yang baru dimasukkan menggantikan Rozaimie Rohim, Rendy Robson, telah ditewaskan Safawi Rasid selepas benteng mereka membuat kesilapan mudah kehilangan kawalan bola di kawasan sendiri.
Sepakan percuma Leandro dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Rendy Robson sekali lagi pada minit ke-83 untuk JDT selesa berada di depan dengan kedudukan 4-1. Dua gol tanpa Rendy Robson dapat memegang bola secara rasmi.
Perubahan penjaga gol memberi kesan kepada rentak permainan Sabah selepas dua gol pantas berjaya dihasilkan tuan rumah dan tiada lagi kebangkitan dapat dilihat daripada skuad Tambadau sehingga perlawanan ditamatkan pengadil.
Berbaki satu lagi perlawanan, JDT berjaya memastikan kejuaraan ke-7 berturut-turut Liga Super sejak musim 2014 dengan setakat ini sudah mengumpul 26 mata. Sabah pula akan bergelut di zon penyingkiran dengan hanya mengumpul sembilan mata.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST