Pasukan Selangor berjaya menewaskan Sabah dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia (MSL 2020) dalam aksi yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu dengan jaringan 2-1.
Tiada jaringan yang dicatatkan pada aksi separuh masa pertama namun begitu kesemua tiga gol dihasilkan pada 45 minit kedua.
Selangor mengalami gerun apabila tuan rumah berjaya mendahului menerusi ledakan berbisa penyerang asing, Roduljub Paunovic berjaya menewaskan Khairulazhan Khalid.
Rembatan kaki kanan Paunovic pada minit ke-65 itu adalah sentuhan kedua beliau sebaik sahaja masuk sebagai pemain gantian.
Selangor kemudiannya menggadakan asakan untuk mencari gol penyamaan dengan serangan mereka diterajui oleh Rufino Segovia dan juga Ifedayo Olesegun dala formasi 3-5-2.
Kesilapan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh yang gagal menangkap kemas hantaran lintang dari K. Prabakaran telah mengundang padah buat Sabah apabila tangkapan muntah itu kemudiannya membolehkan bola jatuh ke kaki Ifedayo.
Gol pada minit ke-72 itu bukanlah kesalahan Azraie sepenuhnya tetapi kegagalan benteng pertahanan Sabah yang memberikan banyak masa dan ruang kepada Prabakaran untuk melakukan hantaran lintang awal.
Ifedayo memberikan lebih sebab kepada B. Satianathan mengapa dirinya adalah penyerang paling tajam Selangor apabila menyumbat gol kemenangan di penhujung perlawanan.
Sekali lagi berpunca dari hantaran lintang awal, kali ini dari Syazwan Zainon ianya berjaya sampai ke kaki Ifedayo yang berada dalam kotak penalti.
Kawalan kedua-dua kaki yang kemas membolehkan pemain itu mencipta ruang untuk dirinya sendiri apabila menahan dengan kaki kanan sebelum melepaskan rembatan dengan kaki kiri untuk menghadiahkan tiga mata buat Selangor pada mini ke-81.
Aksi ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan jelas rancak walaupun berlangsung dengan keadaan padang yang bukanlah terbaik akibat hujan yang turun pada waktu petang.
Selangor secara terang-terangan menyerang ke kubu Sabah seawal wisel permulaan ditiupkan namun kualiti penyudah yang lemah membuatkan mereka gagal mendapatkan gol.
Tersentak dengan jaringan Paunovic, mereka terus fokus dalam usaha mendapatkan gol dan kembali dalam perlawanan.
Secara keseluruhannya, karektor pemain-pemain Selangor diuji sebaik sahaja mereka melepaskan gol dan boleh dikatakan mereka berjaya melepasi ujian itu dengan bangkit meraih tiga mata.
Keputusan penuh, Sabah 1-2 Selangor.
Kesebelasan utama
Sabah: Wan Azraie Wan Teh (penjaga gol), Rawilson Batuil (ketua pasukan), Park Taesu, Azzizan Nordin, Kassy Michael, Alto Linus, Petrus Shitembi, Randy Baruh, Zubir Azmi, Maxsius Musa, Dennis Buschening
Selangor: Khairulazhan Khalid (penjaga gol), Taylor Regan (ketua pasukan), Rufino Segovia, Ifedayo Olesegun, Halim Saari, K. Prabakaran, Syahmi Safari, Safuwan Baharudin, Nicholas Swirad, Sandro Da Silva, Brendan Gan
Pegawai perlawanan
Pengadil: Suhaimi Mat Hassan
Pembantu pengadil 1: Azizul Aziz
Pembantu pengadil 2: Shahril Abu Samam
Pengadil ke-4: Fitri Maskon