Dua gol Tchetche Kipre membantu Kedah merekodkan kemenangan kedua CIMB Liga Super 2020 apabila menundukkan PDRM 2-0 di Stadium K. Lumpur, Cheras.
Kedah turun tanpa kehadiran bek kiri, Azmeer Yusof yang meninggalkan pasukan dan Shakir Hamzah yang digantung satu perlawanan sebelum pertahanan kental, Renan Alves dikeluarkan di pertengahan babak pertama akibat tercedera.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan rentak perlahan, mungkin cuba mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri selepas rehat yang panjang tempohari. Kedah lebih menguasai permainan menerusi asakan berbahaya.
PDRM hanya tampil garang dalam 15 minit pertama sebelum tenggelam sepenuhnya melayan asakan pelawat. Kedah bertubi-tubi membuat percubaan ke gawang tuan rumah, namun dua kali penjaga gol, Wilfred Jabun cemerlang menafikannya.
Ianya adalah rembatan deras Amirul Hisyam Awang Kechik dan tandukkan Kipre Tchetche yang hampir memberikan Helang Merah gol pendahuluan di minit ke-17 dan ke-20. Penjaga gawang PDRM itu tampil dengan penuh keyakinan.
Apa yang jelas di babak pertama adalah sama ada Kedah mahupun PDRM, kedua-duanya mengalami masalah kombinasi permainan di jentera serangan. Setiap asakan yang cuba direncanakan banyak tersekat di defensive third lawan.
Kipre Tchetche akhirnya menebus kekecewaannya sebelum itu apabila meledak dua gol sebelum tirai babak pertama dilabuhkan. Penyerang asal Ivory Coast itu akhirnya membuka akaun jaringan menerusi sepakan penalti di minit ke-29.
Minit ke-36, Tchetche Kipre sekali lagi berhasil menjaringkan gol menerusi rembatan deras selepas menerima hantaran baik Kpah Sherman yang sebelum itu berjaya menewaskan dua pertahanan PDRM – gol ketiganya di saingan liga musim ini.
PDRM sekali lagi tampil agresif memburu gol di awal permainan di babak kedua, namun percubaan yang dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga. Semua percubaan dilihat langsung tidak mengganggu gugat Ifwat Akmal di gawang pelawat.
Gandingan baharu di bek tengah Helang Merah, Irfan Zakaria dan Zulkhairi Zulkeply tampil tenang dalam membendung setiap asakan yang cuba direncanakan jentera serangan tuan rumah yang menyebabkan mereka mencuba dari luar kotak penalti.
Tidak pasti apa yang telah disampaikan oleh pengendali, Ishak Kunju ketika rehat, penguasaan PDRM di babak kedua dilihat lebih baik berbanding di babak pertama dengan Kedah dilihat langsung tidak berjaya memecah blok pertahanan The Cops.
Penguasaan tanpa penyudah yang baik sememangnya sia-sia. Eskandar Ismail contohnya membuat beberapa percubaan yang sia-sia, jauh melewati gol pelawat.
Kemasukkan Fadzrul Danel dan Hadin Azman memberi nafas baharu buat jentera serangan Kedah yang akhirnya kembali mengasak gawang PDRM bermula pada minit ke-80. Namun, sentuhan-sentuhan akhir jentera serangan mengecewakan.
Bukanlah satu perlawanan yang menarik dengan rentak perlahanan dipamerkan oleh kedua-dua pasukan disamping dihiasi penyudah tumpul oleh jentera serangan.
Kedah berjaya memperolehi kemenangan kedua musim ini selepas dua kekalahan dan satu keputusan seri. Ia mungkin tonik terbaik buat mereka untuk memulakan semula saingan Liga Super selepas tertangguh lebih lima bulan sebelum ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA