MSL 2020: Benjamin Mora Tidak Mahu Terlalu Selesa

Benjamin Mora

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora tidak mahu terlalu selesa kerana beliau beranggapan apa sahaja boleh berlaku pada empat perlawanan akan datang dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia (MSL) 2020 dan sasarannya adalah cuba menang dari satu ke satu perlawanan.

JDT berjaya mencatatkan kemenangan penting pada aksi kelmarin selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Jelas Mora, tiap perlawanan pasti menjanjikan kesukaran kerana semua pasukan memburu seberapa banyak mata dan tiada sebarang jalan mudah buat JDT jika mahu menggapai kejuaraan CIMB Liga Super.

“Kami hanya fikirkan dari perlawanan ke perlawanan dan cuba meraih seberapa banyak kemenangan kerana dalam ada masanya boleh berlaku kejutan tanpa diduga dalam liga.

“Dalam situasi sekarang, semua pasukan hendak menang dan itu kami perlu cuba lalui jika mahu menjuarai liga sekali lagi pada musim ini.

“ Prestasi pasukan berdepan Terengganu buatkan saya cukup gembira kerana gawang kami tidak dibocori dan permainan kami baik walaupun Terengganu berjaya berikan tekanan yang cukup baik kepada kami.”

“Saya juga ucapkan syabas kepada Terengganu kerana mempamerkan peningkatan berbanding musim lalu dan aksi bola sepak yang kian berkualiti, sememangnya saya berpuas hati kerana pemain saya dapat meraih tiga mata penting di laman lawan yang sukar, ” katanya.

JDT mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan dengan masih kekal rekod tanpa kalah dan selepas ini, skuad Harimau Selatan akan bertemu Selangor pada 19 September di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Berbekalkan enam mata meninggalkan pencabar utama, Kedah di tangga kedua, JDT hanya kini perlu mencari minimum tujuh mata daripada baki empat perlawanan bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2014.

Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers

Baca artikel lain dari kami mengenai JDT:

Leave a Reply