Walaupun selepas tewas 2-0 kepada JDT di Larkin pada Selasa lalu, Pahang enggan menyerah kalah untuk mengimpikan kejuaraan Liga Super pada musim ini.
Kemenangan 2-1 JDT ke atas PKNS FC pada malam tadi juga bermakna kelab selatan tanah air itu kini menjarakkan diri 11 mata berbanding Pahang yang berada di tangga kedua.
Ini bermakna Pahang wajib mencatatkan kemenangan ketika melayan kunjungan Perak dalam perlawanan yang akan berlangsung di Kuantan esok.
Bercakap kepada Berita Harian, pengurus skuad Tok Gajah, Suffian Awang berpendapat ianya tidak mustahil untuk Pahang mengejar impian tersebut. Ini kerana setiap pasukan yang bertanding masih berpeluang untuk mencatat kemenangan dan melakukan kejutan di dalam baki saingan.
“Bola sepak adalah sukan yang selalu menghasilkan keputusan yang kita tidak sangka. Saya tidak nampak peluang kita untuk mengatasi JDT sudah tertutup.
“Musim belum berakhir lagi dan fokus utama kita adalah untuk menang,” kata Suffian.
Untuk Pahang memiliki sebarang peluang memintas JDT, Suffian juga berpendapat formula tersebut sepatutnya datang sendiri daripada pemain dan pasukan Pahang itu sendiri.
“Jadi, kalau kita nak menang, kena ubah mentaliti semua pemain terlebih dahulu kerana kalau kita tidak bersikap atau berfikiran positif, susahlah nak jadi juara.
“Sebab itu, saya selalu ingatkan mereka [pemain] supaya kekal fokus dengan sasaran ditetapkan pasukan sejak awal musim Liga Super dan berusaha untuk kembali mendapat rentak terbaik,” tambah beliau.
Daripada 13 aksi Liga Super setakat ini, Pahang telah mencatatkan tujuh kemenangan dan empat keputusan seri.
Dua kekalahan yang dialami oleh skiad Tok Gajah pula terhasil apabila mereka dikejutkan oleh PJ City FC di Stadium MBPJ pada awal Mei lalu – sebelum tewas 2-0 kepada JDT pada pertengahan minggu ini.
Berdasarkan konsistensi dan rekod JDT pada musim-musim terdahulu, misi skuad Tok Gajah sememangnya sukar. Namun di dalam bola sepak, tiada perkara yang mustahil.
Mungkin apa yang perlu dilakukan oleh skuad kendalian Dollah Salleh kini ialah untuk memberi fokus kepada setiap perlawanan yang dilalui – dan menghasilkan kepututusan positif secara konsisten terlebih dahulu.