Hasrat untuk meraih kemenangan pertama di halaman sendiri musim ini akhirnya tercapai apabila skuad Terengganu FC (TFC) mencatat kemenangan yang bergaya ke atas Melaka United, 3-0 lalu melonjakkan kedudukan mereka dalam kelompok 6 teratas Liga Super.
Dalam perlawanan ini, penjaga gol utama Suffian Rahman mengambil alih tugas selaku kapten pasukan daripada Kipre Tchetche untuk mengurangkan tekanan pada penyerang import tersebut.
Separuh masa pertama
Seperti biasa, pengendali skuad penyu, Irfan Bakti menggunakan formasi 4-1-4-1 dengan Kipre Tchetche menjadi ‘target man’ sambil dibantu oleh Sanjar Shaakmedov dan Lee Tuck. Manakala dua bekas pemain Pahang, Ashari Samsuddin dan Malik Arif mengisi posisi sayap kiri dan kanan.
Kesebelasan utama Terengganu FC menentang Melaka pada malam ini#webleedblackandwhite#TerengganuFC #unifiLigaSuper2019 pic.twitter.com/MdVRGiNZje
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) March 9, 2019
TFC memulakan perlawanan dengan lebih kerap mengasak ke kubu Melaka dalam usaha mencari gol di awal babak pertama. Peluang pertama mereka hadir melalui sepakan percuma di sebelah sayap kanan setelah Malik dijatuhkan namun percubaan Adib Zainuddin melambung tinggi pada minit ke 14.
Melaka United dilihat mengalami kesukaran untuk mengekang kemaraan jentera serangan TFC dan masih mencari rentak untuk mendapatkan gol pertama mereka.
10 minit kemudian, usaha TFC mengasak ke kubu lawan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Nasrullah Hanif memanfaatkan peluang dengan menanduk bola sepakan penjuru Lee Tuck.
23' | GOL NASRULLAH HANIF!
Sang Penyu mendahului ketika ini di Kuala Terengganu melalui tandukan pertahanan Nasrullah Hanif hasil sepakan penjuru @LEE__TUCK!#TERMEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/dOzrZVuZDS
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
Tersentak dengan jaringan itu, Melaka United terus mengaturkan serangan dan kerap menguji penjaga gol TFC. Peluang terbaik hadir melalui percubaan Safiq Rahim di minit ke 39 namun Suffian berjaya mendakap bola dengan kemas tanpa sebarang masalah.
TFC jelas sekali tidak mahu keputusan seri berakhir sekali lagi pada malam ini apabila Lee Tuck membuat hantaran kepada Sanjar Shaakhmedov lalu disudahkan dengan kawalan dan rembatan cantik yang meletakkan Sang Penyu 2 gol dihadapan sehingga tamat separuh masa pertama.
42' | GOL SANJAR!
Kawalan dan rembatan cantik dari Sanjar Shaakhmedov meletakkan Sang Penyu 2 gol dihadapan.@FCTerengganu 2-0 @MelakaUnitedSA #TERMEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/Pnyz3vOSPR
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
Separuh masa kedua
Memasuki babak kedua, Irfan Bakti membuat sedikit perubahan taktikal dan melakukan pertukaran pertama pemain dengan memasukkan Syamim Yahya menggantikan Malik Arif di posisi sayap kanan.
Percaturan itu ternyata memberikan pulangan yang lumayan apabila Syamim kerap memberi masalah kepada benteng pertahanan Melaka dan berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke 74 setelah menerima umpanan cantik daripada Ashari Samsuddin.
74' | GOL SYAMIM YAHYA!
Umpanan cantik Ashari disudahkan dengan baik oleh Syamim untuk meletakkan Sang Penyu selesa 3 gol dihadapan.@FCTerengganu 3-0 @MelakaUnitedSA #TERMEL#unifiLigaSuper2019 #MFLLive pic.twitter.com/uEazlGwYAU
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 9, 2019
Situasi itu menyebabkan Zainal Abidin tidak senang duduk lalu mengeluarkan penyerang import, Aselmo Arudda Da Silva dengan memasukkan Shukor Adan untuk mengawal benteng pertahanan. Namun ia ternyata sudah terlambat untuk mempamerkan kebangkitan dan terpaksa akui dengan kehebatan jentera tengah TFC.
Kemenangan Terengganu FC malam ini merupakan hasil daripada kebijaksanaan jentera tengah ditambah pula dengan percaturan yang menjadi daripada Irfan Bakti.
Segala-galanya tidak menjadi buat Melaka United malam ini apabila gagal mempamerkan corak permainan sebenar dan ketiadaan tonggak tengah, Liridon Krasniqi yang mengalami kecederaan ternyata memberi kesan yang besar kepada skuad itu.
Foto kredit : Malaysia Football League (MFL)