Terengganu FC akhirnya menamatkan rentetan 3 kekalahan dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2019 apabila menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah Tchetche Kipre yang meledak gol pertamanya musim ini dalam saingan Shopee Piala FA 2019 tempohari turut berjaya meledak dua lagi gol peribadi untuk membantu tuan rumah meraih 3 mata berharga di laman sendiri.
Kedua-dua pasukan turun dengan mood positif selepas meraih kemenangan dan menampah tiket ke suku akhir Piala FA musim ini pada Selasa lalu – Terengganu menang ke atas Kelantan United sementara Felda United menyingkirkan Selangor.
Sepanjang 45 minit babak pertama, kedua-dua pasukan tampak masih tercari-cari rentak dengan The Fighters dilihat pasif dan kurang berjaya apabila bergerak ke defensive third lawan, sementara Sang Penyu pula acap kali cuba mengatur serangan.
Anak didik Mohd Nidzam Jamil dilihat berjaya memperbaiki corak permainan dalam 20 minit terakhir babak pertama dengan beberapa asakan ke gawang tuan rumah walaupun ianya tersasar.
Di minit ke-9, penjaga gawang Felda United, Norazlan Razali telah dipaksa menyelamatkan percubaan deras pemain terbaik dalam saingan Piala FA baru-baru ini, Sanjar Shaakmedov.
Terengganu sekali lagi berpeluang untuk berada di depan apabila Abd Malik Ariff berjaya melepaskan percubaan namun sedikit tersasar selepas terbias pertahanan lawan di minit ke-20.
Hanya pada minit ke-23, barulah pemain tengah, Jocinei berjaya melakukan percubaan ke gawang tuan rumah, namun tersasar. Percubaan kedua diciptanya selepas percubaan seawal minit pertama perlawanan sebelum itu yang turut tersasar.
Menuju penghujung babak pertama, S. Chanturu pula membuat tandukan di depan gawang Terengganu namun ianya masih gagal menggegar jaring gol yang dikawal kemas Suffian Ab Rahman.
Akhirnya, penyerang tuan rumah, Tchetche Kipre berjaya meledak gol pertama perlawanan di minit ke-50 membolehkan Terengganu mendahului perlawanan. Ini merupakan gol pertamanya di pentas Liga Super selepas meledak gol pertama di Piala FA tempohari.
Benteng pelawat yang ditunjangi Thiago Junio dan Masaki Watanabe dilihat kian rapuh bermula di minit ke-70 apabila tiga kali Tchetche Kipre berpeluang meledak gol buat Terengganu namun disia-siakan menerusi percubaan yang tersasar.
Peluang terhampir Felda United untuk meraih gol penyamaan hadir di minit ke-76 apabila pertahanan Masaki Watanabe hampir menjaringkan gol namun, ianya sedikit tersasar daripada gol.
Norazlan Razali sekali lagi berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya pemain gantian Terengganu, Ashaari Samsudin pada minit ke-80. Berbanding penjaga gol tuan rumah, dia jelas begitu ‘sibuk’ dalam perlawanan pada malam ini.
Tchetche Kipre berjaya menebus kehampaannya beberapa minit sebelum itu apabila di minit ke-89 dia berjaya meledak gol kedua peribadinya untuk membolehkan tuan rumah kian selesa di depan.
Di saat perlawanan seperti bakal berakhir dengan kemenangan selesa buat Sang Penyu, Felda United berjaya juga meledak gol saguhati menerusi jaringan Masaki Watanabe – jaringan pertamanya selepas menyertai The Fighters daripada Perlis.
Dengan kemenangan ini, anak didik Irfan Bakti buat sementara berjaya melonjak ke kedudukan ke-6 liga dengan 12 mata dan Felda United kekal di tangga kedua terbawah dengan 7 mata.
Terengganu FC: Suffian Ab Rahman (PG), Igor Zonjic, Khairu Azrin, Kamal Azizi, Adib Aizuddin, Thierry Bin, Lee Tuck (K), Sanjar Shaakhmedov, Abd Malik Ariff (75′ Ashaari Samsudin), Khairul Anwar, Tchetche Kipre (90′ Izzan Syahmi)
Felda United: Norazlan Razali (PG), Masaki Watanabe, Thiago Junio, Haziq Puad, Arif Fadzilah, Jasazrin Jamaluddin (K), Zahril Azri (66′ Anwar Ibrahim), Jocinei, Christie Jayaseelan, S. Chanturu, Kei Ikeda (77′ Azim Rahim)