Quantcast

BERITA

MSL 2019: Selangor & Perak Berkongsi Mata Di Shah Alam

Selangor dan Perak terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi Liga Super Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Perak mencemaskan penyokong tuan rumah seawal minit ke-3 selepas Leandro Dos Santos Oliveira melakukan tandukan cantik hasil sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim, namun Farizal Harun lebih bersedia menolak keluar percubaan sulung tersebut.

Memasuki 20 minit permainan, Selangor dilihat begitu bernafsu memburu jaringan dengan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Perak yang dikawal Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Nurridzuan Abu Hassan memulakan siri serangan Selangor menerusi rembatan kaki kiri dari jarak jauh pada minit ke-21 tetapi ia mudah dinafikan Hafizul Hakim.

Seminit kemudian, ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah melakukan percubaan dari jarak jauh untuk memerangkap Hafizul Hakim, namun percubaannya sedikit tersasar.

Skuad bimbingan B. Satiananthan terus mengasak dan kali ini giliran Muhammad Syahmi Safari pula meledakkan rembatan dalam kawasan penalti Perak yang berjaya ditepis keluar Hafizul pada minit ke-24.

Peluang terbaik Selangor hadir berselang dua minit kemudian hasil sepakan percuma diledakkan Sandro Da Silva Mendonca. Ketika Hafizul sudah pun tergamam, tiang gol sebelah kiri pintu gol Perak pula menggagalkan usaha tersebut.

Dalam keghairahan Selangor memburu jaringan, Perak membuatkan ribuan penyokong setia mereka yang hadir melonjak kegembiraan pada minit ke-35.

Mohd Nor Hakim Hassan yang tidak dikawal pertahanan Selangor dengan mudah menolak bola masuk hantaran lintang Shahrel Fikri Md Fauzi untuk gol pembukaan perlawanan.

Kegembiraan Perak bagaimanapun hanya bertahan empat minit selepas Sandro berjaya menyamakan kedudukan menerusi satu sepakan percuma cantik yang terus menerjah gawang Perak.

Selangor terpaksa bermain dengan sepuluh pemain pada minit ke-57 selepas Nurridzuan diperintah keluar padang akibat menerima kad kuning kedua perlawanan.

Serangan yang dicipta kedua-dua pasukan selepas itu gagal untuk menghasilkan sebarang jaringan diharapkan.

Keputusan 1-1 kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Selangor kini ditangga ke-4 dengan 13 mata manakala Perak ditempat ke-7 dengan 9 mata.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!