Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2019: PKNP Dan JDT Berkongsi Satu Mata Di Manjung

Hasrat skuad Harimau Selatan untuk membawa pulang tiga mata penuh tidak menjadi kenyataan apabila mereka berjaya diikat oleh PKNP FC, 1-1 dalam perlawanan yang cukup menarik di Stadium MP Manjung malam tadi.

Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan kesebelasan terbaik mereka manakala PKNP FC mempertaruhkan pemain import baharu, Ramon Da Silva dan dua pemain pinjaman dari Perak, Syazwan Zaipol dan Nazirul Afif.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu hanya memerlukan 4 minit untuk membuka akaun jaringan yang pertama melalui Diogo Luis Santo hasil hantara daripada Safawi Rasid.

Tersentak dengan jaringan daripada pasukan pelawat, PKNP cuba bangkit mengaturkan beberapa serangan berbahaya tetapi jentera serangan yang diketuai oleh Giancarlo Lopez gagal menyudahkan deretan peluang keemasan.

10 minit kemudian, usaha mereka mengasak ke kubu JDT akhirnya membuahkan hasil apabila Ramon Da Silva manfaatkan situasi kelam kabut di kawasan gawang pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan, 1-1.

Bagaimanapun, gol tersebut telah membangkitkan semangat pemain JDT untuk mencari jaringan yang kedua melalui asakan bertali arus melalui gandingan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid namun dikecewakan oleh tiang.

Kedua-dua pasukan kemudian kelihatan buntu untuk mencari jaringan dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan lebih banyak bermain secara berhati-hati dan JDT terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu tuan rumah. Rembatan Safawi sekali lagi dikecewakan oleh tiang

Mereka juga memperolehi peluang terbaik untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke 56 selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Namun begitu, Gonzalo Cabrera gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Perlawanan mula menjadi panas apabila JDT terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas pemain tengah mereka, Mohd Afiq Fazail dilayangkan kad merah kerana mengasai pemain PKNP.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan PKNP FC dan keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas tamat perlawanan, berlaku sedikit kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan di tepi padang namun berjaya dileraikan pengadil serta pengurusan pasukan.