Perubahan percaturan oleh PKNP FC di babak kedua membolehkan mereka mengikat Selangor dengan keputusan 1-1 dalam aksi minggu ke-14 Liga Super Malaysia (MSL) 2019 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MP Manjung, sebentar tadi.
Selangor dilihat kurang agresif di babak kedua dengan hanya satu percubaan terhasil dan suntikan perubahan oleh B. Satiananthan dilihat masih gagal membantu pelawat memburu gol kemenangan.
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dilihat kekurangan pilihan pemain apabila kehilangan 4 tonggak utama iaitu Giancarlo, Amani Aguinaldo, Thomas Abbey dan juga kapten, Hafiz Ramdan. Dapat dilihat perubahan pemain yang ketara berbanding ketika berdepan dengan musuh setempat, Perak tempohari – tumpas 1-3 di Ipoh.
Selangor pula tampil mengekalkan kesebelasan utama ketika menang selesa ke atas Kedah tempohari dengan harapan tempo permainan tersebut mampu dibawa ke dalam perlawanan ini. Begitupun, aksi yang ditonjolkan tidak seperti yang diharapkan.
Tuan rumah dilihat berjaya menyerap asakan pelawat dengan baik dan ketangkasan Asyraaf Omar di gawang menafikan peluang boleh gol lawan seperti tandukan pertahanan, Taylor Regan.
Selepas itu, kesilapan Syazwan Zainon berdekatan gol sendiri apabila memberikan bola kepada pemain sayap lawan, Al-Fateh gagal dihukum oleh PKNP FC apabila hantarannya selepas itu kurang kemas dan gagal menemui rakan sepasukan.
Dan akhirnya pada minit ke-29, Ifendayo berjaya meledak gol pembukaan perlawanan hasil sentuhan mudahnya di hadapan gawang kawalan Asyraaf Omar – gol ke-4 untuk saingan liga.
Ia bermula daripada hantaran bek kiri, K. Sarkunan kepada Sandro yang berjaya melepaskan diri daripada kawalan Sukri Hamid seterusnya membuat lorongan menarik ke hadapan gawang PKNP FC melewati dua lagi pertahanan tuan rumah serta penjaga gol.
PKNP FC hampir-hampir berjaya menjaringkan gol penyamaan di minit ke-44 menerusi percubaan Ibni Khozaimi di sebelah kanan gawang, namun ianya sedikit tersasar daripada gawang gol.
Seminit babak kedua bermula, perubahan posisi G. Mugenthiran ke posisi lebih menyerang dengan kemasukkan Khairul Asyraf yang menggantikan pemain sayap, Ibni Khozaimi telah membuahkan hasil untuk ledakan jaringan penyamaan tuan rumah.
Hanya 6 sentuhan diperlukan oleh PKNP FC bermula daripada penjaga gol dan akhirnya disudahkan dengan rembatan kaki kiri Mugenthiran – jaringan keduanya untuk musim 2019.
PKNP FC semakin ghairah melakukan asakan ke gawang Gergasi Merah selepas memperolehi gol penyamaan dengan beberapa serangan diatur oleh jentera hadapan namun seperti di babak pertama, sentuhan akhir PKNP FC jelas masih tumpul.
Dalam pada itu, di saat penguasaan perlawanan berpihak kepada PKNP FC, peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-63 apabila umpanan Syazwan Zainon melepasi Asyraaf Omar gagal disambar kemas oleh Sandro di hadapan gol tuan rumah.
B. Satiananthan tampil memasukkan tiga pemain menyerang secara berperingkat bermula daripada minit ke-60 iaitu, Sean Selvaraj, Faiz Nasir dan juga Amri Yahyah dalam usaha mahu menyuntik aura kebangkitan Gergasi Merah.
Namun, PKNP FC masih mampu menampilkan aksi seimbang di setiap posisi dan beberapa kali berjaya menggusarkan benteng pertahanan Selangor menerusi asakan ke gawang Farizal Harun.
Menuju ke penghujung perlawanan, PKNP FC tampak berterusan cuba menyerang kubu Gergasi Merah dengan pelawat dilihat terus tenggelam sehingga ke wisel penamat. Perubahan arahan taktikal Abu Bakar di babak kedua jelas memberikan kesan positif.
Kegagalan meraih kemenangan dan Kedah pula memperolehi 3 mata di Darul Aman membolehkan posisi ketiga Liga Super diserahkan semula kepada Helang Merah, hanya menerusi perbezaan jaringan. Kedua-dua pasukan terikat dengan 22 mata.
Sementara PKNP FC pula masih tidak selamat di kedudukan ke-10 liga apabila hanya dibezakan 1 mata daripada zon penyingkiran. Namun, ia satu mata yang amat berharga buat tuan rumah.
PKNP FC: Asyraaf Omar, Sukri Hamid (K), Pedro Victor, Ezanie Salleh (66′ Filemon Anyie), Farid Nezal, Fadhil Idris, Al-Fateh, G. Mugenthiran, Ibni Khozaimi (45′ Khairul Asyraf), Fazrul Hazli (75′ Hafiz Kamal), Yashir Pinto
Selangor: Farizal Harun, Taylor Regan, Michal Nguyen, A. Namathevan, K. Prabakaran, K. Sarkunan (K), Halim Saari, Syahmi Safari (60′ Sean Selvaraj), Syazwan Zainon (71′ Faiz Nasir), Sandro da Silva (80′ Amri Yahyah), Ifedayo Olusegun
Kredit Featured Image: Malaysian Football League