MSL 2019: Perak Rekod Kemenangan Menentang 10 Pemain Terengganu FC

Perak, Terengganu

Perak berjaya meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi minggu ke-17 Liga Super Malaysia (MSL) 2019 di Stadium Perak, Ipoh. Tiga mata berharga dan juga merupakan kemenangan ketiga The Bos Gaurus di halaman sendiri musim ini.

Selepas melepaskan tiga gol pada aksi menentang Melaka United pada hujung minggu lalu, gawang Terengganu sekali lagi dirobek dengan jumlah yang sama namun tiada kebangkitan tercipta.

Terengganu dipaksa bermain hampir 70 minit dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Dechi Marcel diarahkan keluar padang akibat layangan kad kuning kedua di pertengahan babak kedua.

Bertandang ke Ipoh, Terengganu turun dengan percaturan berani membariskan pemain tengah, Thierry Bin di benteng pertahanan tengah untuk bergandingan bersama Wan Amirzafran. Dan mereka telah diuji lawan seawal minit ke-3 dengan tandukkan Kenny Pallraj berpunca daripada sepakan penjuru diselamatkan Ilham Amirullah.

Sang Penyu tidak duduk diam apabila 3 minit kemudian menerusi serangan balas yang diatur, Tchetche Kipre telah berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak seterusnya melepaskan rembatan lemah namun ianya hanya terkena tiang gol kawalan Hafizul Hakim.

Tchetche Kipre, Shahrul Saad
FOTO: MFL

Ketiadaan Brendan Gan yang digantung perlawanan menyaksikan tempat tersebut diisi semula oleh Leandro yang kembali ke dalam kesebelasan utama The Bos Gaurus dan perbezaan ketara dapat dilihat antara corak serangan antara Leandro dan Brendan Gan.

Leandro bermain agresif sementara Brendan Gan pula selalunya menampilkan aksi yang lebih dinamik ketika menyerang.

Perak hampir di depan di minit ke-15, namun percubaan J. Partiban hanya singgah di tiang gol kanan selepas menerima lambungan kemas Nor Hakim Hassan. Dan 5 minit kemudian, tiang sekali lagi menjadi penghalang apabila sepakan percuma Nazirul Naim telah ditepis Ilham Amirullah seterusnya singgah di tiang kiri gawang.

Begitupun, malapetaka buat Sang Penyu di minit ke-27 apabila pemain tengah, Dechi Marcel dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Leandro.

Bermain dengan 10 pemain, pelawat dilihat masih kekal positif mengatur serangan. Minit ke-30, Tchetche Kipre hampir meledak gol pembukaan buat pelawat namun percubaannya selepas melepasi dua pemain tuan rumah gagal mengegar gawang.

Perak, Terengganu
FOTO: MFL

Dan minit ke-34, kapten The Bos Gaurus, Shahrul Saad akhirnya meledak gol pertama perlawanan hasil tandukkannya berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Nor Hakim Hassan. Itu merupakan gol kedua peribadinya dalam 16 penampilan.

Seawal babak kedua bermula, Perak memperolehi sepakan penalti namun ianya gagal disempurnakan oleh Careca apabila sepakan tersebut diselamatkan oleh Ilham Amirullah pada minit ke-49.

Untuk babak kedua, Nafuzi Zain dilihat membuat 2 pertukaran untuk menampung kehilangan Dechi Marcel dan Terengganu berterusan mengatur serangan ke kubu lawan, namun kerap kali dikecewakan dengan penyudah lemah Tchetche Kipre.

Akhirnya, Ronaldo menambah gol buat The Bos Gaurus di minit ke-69 hasil tandukan tipisnya selepas menerima lambungan kemas Nazirul Naim daripada sepakan percuma dari luar kotak penalti – gol ketiga daripada 6 penampilan dalam saingan Liga Super.

Sang Penyu dilihat mula terkesan dengan kepenatan dan bermula dengan sepakan sudut, Ronaldo berjaya meledak gol ketiga Perak serta kedua peribadinya hasil susulannya selepas tandukan awal Shahrel Fikri terkena tiang gol pelawat pada minit ke-77.

Ronaldo, Perak
FOTO: MFL

Minit ke-84, Ronaldo hampir menanduk masuk hatrik pertamanya selepas menerima hantaran lintang J. Partiban di sebelah kiri gol. Perak jelas belum berpuas hati dengan jumlah gol yang dihasilkan.

2 minit sebelum perlawanan tamat, kelekaan benteng dan penjaga gol tuan rumah, Terengganu berjaya memperolehi gol saguhati menerusi sepakan percuma di sisi kiri gawang oleh Thierry Bin – gol pertama kapten skuad kebangsaan Kemboja itu musim ini.

Ini merupakan kemenangan ketiga Mehmed Durakovic di laman sendiri bagi musim ini selepas melakukannya ke atas PJ City FC dan PKNP FC. Perak mengumpul 24 mata, mendaki ke kedudukan ke-5 Liga Super sambil menanti keputusan Melaka United esok.

Perak: Hafizul Hakim (PG), Shahrul Saad (K), Hussein El Dor, Nazirul Naim, Amirul Azhan (Idris Ahmad), Kenny Pallraj, Leandro (Firdaus Saiyadi), Nor Hakim Hassan (57′ Shahrel Fikri), J. Partiban, Careca, Ronaldo Henrique

Terengganu FC: Ilham Amirullah (PG), Wan Amirzafran (31′ Muhammad), Thierry Bin, Kamal Azizi, Khairul Anwar (54′ Khairu Azrin) , Sharin Sapien, Dechi Marcel, Syamim Yahya, Nabil Latpi (46′ Adib Aizuddin), Sanjar Shaakhmedov, Tchetche Kipre (K)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN