Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan di Stadium Perak, Ipoh dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2019 sebentar tadi menyebabkan misi pemburuan kemenangan sulung buat Perak dan Felda United terpaksa diteruskan.
Separuh masa pertama
Tidak banyak perkara menarik yang dapat diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan di babak pertama.
Aksi pada 15 minit awal permainan memperlihatkan penguasaan bola oleh Perak yang berusaha untuk memecah tembok pertahanan Felda United.
Peluang terbaik pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-18, namun Wander Luiz Bitencourt Junior merembat tinggi hasil hantaran dalam kawasan penalti yang dilakukan Mohd Nor Hakim Hassan.
Felda United kemudiannya bangkit untuk kembali memberikan keseimbangan dengan melancarkan gerakan kearah kubu Perak.
Usaha anak buah Nidzam Jamil tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-44 menerusi Hadin Azman.
Hadin melepaskan rembatan hasil sepakan percuma di hadapan pintu gol Perak yang membuatkan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy hanya terpaku melihat bola menerjah gawang beliau.
Jaringan ketiga peribadi dalam saingan Liga Super oleh Hadin Azman itu menjadi satu-satunya percubaan tepat kearah gol yang terhasil pada separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan ketika waktu rehat, Perak tampil lebih garang bagi menghadapi baki 45 minit permainan.
Ia terbukti apabila anak buah Mehmed Durakovic mendominasi permainan untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Wander Luiz sekali lagi melepaskan peluang yang terhidang apabila beliau gagal menyepak dengan kemas hantaran menarik menerusi sepakan percuma yang diambil Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-56.
Berselang lima minit kemudian, pemain import kelahiran Brazil itu terus hampa setelah rembatan separa voli yang diledakkannya pula terkena palang gol.
Kesilapan pemain pertahanan Felda United, Ahmad Haziq Ahmad Fuad memakan diri apabila beliau mengasari Wander Luiz dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih menghadiahkan sepakan penalti buat Perak.
Gilmar Jose Da Silva Filho yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-71.
Jaringan tersebut meningkatkan moral pemain Perak apabila hampir mencipta satu lagi jaringan pada minit ke-74.
Norazlan bagaimanapun cemerlang menafikan rembatan Nor Hakim dalam situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Felda United.
Kedudukan 1-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk Perak dan Felda United berpuas hati dengan satu mata.
Kesebelasan pemain
Kredit foto: Perak TBG & Felda United FC