Perak mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengikat Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 3-3 dalam aksi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Skuad The Bos Gaurus itu berjaya bangkit dari ketinggalan sebanyak tiga kali bagi merakamkan keputusan seri ke-8 pada musim ini dalam saingan liga.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal bermula garang sebaik sahaja permainan dimulakan apabila hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-2.
Namun, gol yang dihasilkan Chan Vathanaka hasil percubaan dalam kawasan penalti dibatalkan pengadil perlawanan.
Serangan awal PKNS FC jelas menghantui pertahanan Perak dan skuad ‘Yob’ dihukum berselang tiga minit kemudian menerusi Kpah Sherman.
Berpunca daripada hantaran Vathanaka terus mencari Sherman yang tidak dikawal, penyerang kelahiran Liberia itu dengan tenang menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy walaupun Amirul Azhan Aznan berusaha keras untuk menghalang gerakan beliau.
Kelebihan yang dimiliki PKNS FC hanya bertahan enam minit selepas pemain tengah, Brendan Gan kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil sepakan percuma diambil Nazirul Naim Che Hashim.
Bagaikan mendapat tonik berguna daripada jaringan itu, barisan pemain Perak giat melancarkan serangan ke kubu PKNS FC.
Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-41 apabila Wander Luiz Bitencourt Junior yang mendapat hantaran melalui gerakan bersama Mohd Nor Hakim Hassan.
Namun, penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin tangkas menafikan percubaan pemain import dari Brazil itu.
Dalam keghairahan Perak mengasak, pasukan tuan rumah kembali di depan pada minit ke-42 apabila Nicholas Swirad yang tidak dikawal pertahanan Perak menanduk masuk bola hasil hantaran Faizat Ghazli untuk gol kedua PKNS FC.
Pemain gantian, J. Partiban menggembirakan kem Perak pada minit ke-49 setelah beliau dengan tenang menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol PKNS FC oleh Wander Luiz bagi menjadikan kedudukan 2-2.
Belum puas penyokong Perak meraikan jaringan tersebut, Sherman sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring gol pada minit ke-52.
Percubaannya dari luar kawasan penalti terbias mengenai Zac Anderson yang sekaligus membolosi gawang Perak buat kali ketiga.
Sherman hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-67 akibat kesilapan penjaga gol tetapi sepakan Hafizul Hakim yang terkena Sherman sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol pelawat.
Perak yang dua kali bangkit dari ketinggalan membuktikan mereka masih lagi merupakan ‘pakar seri’ selepas Nazirul Naim Che Hashim menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-80 menerusi sepakan percuma yang terbias benteng lalu bola mengelirukan Zarif Irfan.
Keputusan 3-3 kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
PKNS FC kini mengumpul 16 mata untuk berada ditangga kelima manakala Perak tiga anak tangga dibawah setelah mengumpul 14 mata.
Kredit foto: Perak TBG