Quantcast

BERITA

MSL 2019: Misi Kemenangan Melaka United Dan Felda United

Sudah berapa musim Melaka dicanang sebagai potensi pencabar kejuaraan – kerana gaya perbelanjaan mereka dalam jendela perpindahan.

Namun skrip sama berulang lagi. Mereka akan cuba mengakhiri musim sekurang-kurangnya dalam kelompok 5 teratas.

Felda United pula kini berada di tangga tercorot Liga Super 2019. Satu perkara yang agak mengejutkan ramai pihak.

Prestasi semasa

Melaka lebih baik daripada Felda United dalam 5 perlawanan terakhir. Hal ini kerana Felda United sangat teruk dalam proses tersebut.

Melaka hanya menang 1 perlawanan dalam 5 perlawanan terakhir mereka. Manakala Felda United masih tak menang dalam 5 perlawanan terakhir mereka.

Melaka United ketika ini di tangga ke-7, 8 mata di atas Felda United yang berada di tangga ke-12.

Rekod pertemuan

Dalam 5 pertemuan terakhir,  3 daripadanya berakhir dengan seri. Dan 2 lagi dibahagikan dengan 1 kemenangan bagi setiap pasukan.

Pertemuan terakhir mereka pada 26 April yang lalu juga berakhir dengan keputusan seri.

Felda United mahu keluar dari zon penyingkiran

Jika menang, Felda United boleh keluar daripada zon penyingkiran – terutama sekali dengan margin 2 gol.

Mereka ketika ini hanya 8 mata. Beza 3 mata daripada KLFA dan juga PKNP FC yang masing-masing dengan 11 mata. KLFA dan PKNP FC sudah bermain LS13.

Melaka boleh naik ke 5 teratas

Melaka boleh berada dalam 5 teratas jika mereka menang. Jika pasukan Selangor gagal mendapatkan keputusan positif, Melaka boleh berada di tangga ke-4, dengan syarat mereka harus menang.

Melaka kini mengutip 16 mata. Dibezakan 1 mata daripada Perak (tangga ke-5) dan 2 mata daripada Selangor (tangga ke-4).

Kerapuhan pertahanan dan ketumpulan serangan

Kedua-dua pasukan mencatatkan perbezaan jaringan negatif. Cuma Felda United sangat teruk dengan perbezaan jaringan -12 berbanding -1 untuk Melaka.

2 pasukan ini merupakan pasukan yang paling rendah gol setakat ini. Melaka di ranking ke-11 untuk rekod gol paling sedikit dengan 13 gol. Manakala Felda di ranking ke-12 dengan hanya 9 gol.

Dari segi bolos, Melaka bukanlah teruk sangat cuma ketumpulan serangan mereka membuatkan perbezaan jaringan mereka negatif.

Sebelum wisel

Zainal Abidin Hassan dan Nidzam Jamil pastinya menganggap ini perlawanan wajib menang. Untuk Felda United, inilah peluang mereka mula mengorak langkah keluar daripada zon penyingkiran.

Kami jangkakan perlawanan ini akan seimbang berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan. Melaka United masih mencari ‘spark’ daripada beberapa nama bintang dalam pasukan mereka.