Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 selepas berjaya menundukkan Kuala lumpur 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Yashir Armando Pinto Islame tidak menunggu lama bagi menceriakan penyokong tuan rumah setelah berjaya membuka tirai jaringan ketika perlawanan baru berusia 6 minit.
Berpunca daripada hantaran jauh Mohamad Hafiz Ramdan ke dalam kawasan penalti yang terkena Luke Woodland, Yashir dengan tenang menolak masuk bola bagi menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Ketika aksi selepas itu sedikit membosankan setelah bola hanya berlegar-legar di tengah padang tanpa serangan menarik, G. Mugenthiran tampil menggandakan kedudukan buat PKNP FC pada minit ke-32.
Mugenthiran menerima hantaran Thomas Abbey dari sebelah kanan pintu gol Kuala Lumpur dan kemudiannya melakukan sepakan ‘placing’ kaki kiri yang terus menerjah ke penjuru kanan gawang lawan.
Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Kuala Lumpur terus dirundung malang berselang dua minit kemudian setelah Mohd Firdaus Faudzi diperintah keluar padang akibat bentesan keras yang dilakukannya terhadap Mohamad Ezanie Mat Salleh.
Mugen terlepas peluang menambah jaringan ketiga buat PKNP FC pada minit ke-42 apabila percubaannya akibat kegagalan Sharbinee menangkap bola dengan kemas, hanya meliar melewati palang gol.
Kuala Lumpur yang kembali mendapat sentuhan Guilherme De Paula masih belum mampu memberikan sumbangan berkesan pada babak pertama.
Hanya dua percubaan dari luar kawasan penalti oleh Paulo Josue pada 10 minit awal sedikit menguji Ahmad Asyraf Omar di gawang PKNP FC.
Separuh masa kedua
Beraksi dengan kelebihan seorang pemain memberikan lebih ruang buat tuan rumah mengawal permainan sebaik sahaja aksi bersambung.
Pemain import tinggi lampai, Giancarlo Lopes Rodrigues hampir menambah jaringan buat PKNP FC pada minit ke-57.
Namun, tandukan dilakukan hasil hantaran jauh rakan sepasukannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kuala Lumpur.
Giancarlo kemudiannya menebus kesilapan tersebut pada minit ke-63 selepas kuisannya berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan, Hisyamudin Sha’ari lalu melepaskan rembatan yang gagal dihalang Sharbinee untuk menjadikan kedudukan 3-0.
‘Sudah jatuh ditimpa tangga’, itulah pepatah yang sesuai diibaratkan dengan skuad Kuala Lumpur pada perlawanan ini apabila terpaksa pula beraksi dengan sembilan orang pemain.
Ia berikutan kad kuning kedua diterima Zaiful Abdul Hakim selepas mengasari Hafiz Ramdan yang memaksa beliau pula meninggalkan padang.
Yashir Pinto hampir sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring gol tetapi gerakan solo menarik yang diciptanya gagal disempurnakan dengan cermat walaupun beliau hanya berhadapan dengan Sharbine.
Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim terus bernafsu mencipta jaringan, namun ledakan jarak jauh Abbey ditepis keluar Sharbinee pada minit ke-87.
Giancarlo Lopes menutup perlawanan malam ini dengan jaringan keempat yang merupakan gol kedua peribadi beliau pada minit ke-93 untuk perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 4-0 memihak PKNP FC.
Barisan pemain
PKNP FC
Kuala Lumpur
Kredit foto: PKNP FC & Kuala Lumpur Hawks